KUBANG PASU - Seramai 20 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima komputer riba dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000.
Komputer berkenaan diagihkan kepada anak asnaf Johor di universiti awam dan swasta oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) melalui Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Seorang pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Nurul Shafinah Ain Uttohjama, 23, berkata, dia bersyukur atas sumbangan daripada MAINJ itu.
"Alhamdulillah saya boleh memanfaatkan sepenuhnya komputer riba ini untuk kegunaan pembelajaran saya.
"Sudah lama komputer riba saya rosak sebenarnya dan saya terpaksa pinjam daripada rakan-rakan atau menggunakan perkhidmatan disediakan di Student Lounge," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Pendaftar KUIJSI, Muhammad Sanusi Md Noh berkata, sumbangan itu tidak akan berhenti setakat ini sahaja kerana banyak lagi projek yang akan dirancang bersama Persatuan Anak Johor di UUM.
" Ini adalah usaha kita untuk membantu dan menjaga asnaf anak Johor agar dapat meneruskan pengajian di IPT dalam suasana aman dan harmoni.
"MAINJ sentiasa peka dan cakna dengan anak dari negeri Johor yang berada dalam kategori asnaf," katanya.
Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Massudi berkata, sumbangan itu memberi manfaat dan memudahkan urusan pelajar UUM khususnya.
"Pemberian sumbangan ini adalah sejajar dengan kehendak daripada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membantu dan membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan pelajar IPT.
"Usaha murni sebegini perlu disanjung dan dihormati agar pelajar tidak tercicir dan ketinggalan dalam pembelajaran,” katanya.