Bantuan banjir Terengganu mula diagih

Iklan
Hanafiah

KUALA TERENGGANU - Bantuan banjir berjumlah RM5.39 juta mula diagih kepada 5,391 ketua isi rumah (KIR) sejak Isnin lalu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan secara berperingkat itu diagihkan kepada mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Besut.

Iklan
Iklan

"Agihan bantuan ini dimulakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera pada Isnin lalu diikuti DUN Hulu Besut hari ini (Rabu) dan di DUN Jabi pada Sabtu.

"Agihan bantuan bagi mangsa banjir di DUN Jerteh dan Kuala Besut pula dijangka selesai selewat-lewatnya 8 Jun," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Iklan

Hanafiah berkata, bantuan kewangan bagi mangsa yang tidak berpindah ke PPS pula akan diagihkan suatu tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan statistik terdapat 5,391 KIR yang menjadi mangsa banjir di daerah Besut iaitu seramai 2,364 orang dari DUN Hulu Besut, 1,187 (DUN Jerteh), 664 (DUN Jabi), 613 (DUN Kota Putera) dan 563 KIR (DUN Kuala Besut).

Iklan

Sebelum ini, mangsa banjir di daerah Besut meluahkan rasa kecewa kerana masih belum mendapat bantuan banjir sebanyak RM1,000 seperti yang dijanjikan kerajaan.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan kerajaan negeri mengagihkan bantuan sebanyak RM5.39 juta sebelum 31 Mei.

Jelas beliau, antara punca kelewatan agihan adalah semakan terperinci perlu dibuat kerana berlaku pertindihan tuntutan daripada mangsa banjir.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri tidak menerima bayaran penuh Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang menyebabkan agihan bantuan itu tergendala.