KDN jamin urusan di bawah inisiatif Mecca Route berjalan lancar

Iklan
Saifuddin (tengah) membuat tinjauan ke Kaunter Khas Jemaah Haji Jabatan Imigresen di KLIA pada Rabu. - Foto Bernama
SEPANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen (JIM) memegang pada komitmen untuk memastikan urusan rakyat Malaysia yang menunaikan haji di bawah inisiatif Mecca Route, berjalan lancar, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Tak boleh ada hiccup, tak boleh ada kekurangan dari segi kakitangan, sistem tak boleh ada kerosakan. Itu antara komitmen yang kita bagi di pihak JIM untuk tugas ini,” katanya kepada media selepas meninjau Kaunter Khas Jemaah Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Rabu.

Di bawah inisiatif Mecca Route, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA, akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pengeluar jam Switzerland, Swatch, masih belum menghubungi KDN berhubung rampasan jam daripada koleksi ‘Pride Collection’.

Beliau berkata, promosi jam tersebut banyak dibuat pada hujung tahun lepas dan dalam promosi itu sangat jelas, model yang dikeluarkan itu ada kaitan rapat dengan LGBTQ, yang merujuk kepada lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik.

"Sebagai agensi kawal selia kita tahu isu ini sensitif, tindakan kita tidak mampu puaskan hati semua pihak,” katanya.

Pada 13 dan 14 Mei lepas, KDN dilaporkan menyerbu 11 buah kedai Swatch di pusat beli-belah seperti Pavilion KL, 1 Utama, Sunway Pyramid, Mid Valley Megamall dan Suria Sabah berhubung ‘Koleksi Pride’ jenama itu.

Lima kedai di pusat beli-belah di Alor Setar, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Johor Bahru dan Kuching pula diberikan amaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek pula dilaporkan berkata, jam tangan dirampas KDN itu tidak mengandungi sebarang rujukan kepada LGBTQ.

Ditanya mengenai laporan media berhubung keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, Saifuddin enggan mengesahkannya.

"Perkara itu dalam pemakluman kami (KDN), itu memadai untuk apa-apa urusan akan datang, namun (keberadaan Jho Low) itu bukan keluar dari mulut saya,” katanya.

Laporan media memetik pengarang bersama"Billion Dollar Whale”, Bradley Hope yang mendakwa Jho Low dipercayai berada di bawah tahanan rumah di Shanghai, China. - Bernama

TAG: Saifuddin Nasution, Kementerian Dalam Negeri, imigresen, Mecca Route, Swatch, Jho Low