UiTM United kembali mewarnai saingan liga domestik negara dengan imej baharu saingan Liga M4 2023 selepas menarik diri dari kancah tertinggi bola sepak negara, Liga Super.
Presiden UiTM United, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi menyifatkan kehadiran semula The Lions Roars tersebut bertujuan mendapatkan semula semangat bola sepak dalam arena sukan nombor satu negara itu.
"Pengurusan tertinggi UiTM telah memberikan sokongan penuh bagi UiTM United untuk terus kekal dalam persada arena bola sepak tempatan selain menghasilkan produk tempatan berkualiti untuk skuad kebangsaan pada masa depan.
"Selain itu UiTM juga mempunyai sistem pembangunan atlet yang sangat baik apabila sentiasa melahirkan pemain-pemain yang mewarnai liga bola sepak negara ini.
Mohd Sazili sebelum itu merasmikan pelancaran logo baharu dan pengenalan pemain UiTM United di Kompleks Pusat Sukan UiTM Shah Alam pada Khamis.
Sebagai rekod, UiTM United merupakan penjenamaan semula UiTM FC yang pernah mewarnai saingan Liga Malaysia musim lagi sebelum menarik diri daripada saingan teratas Liga Super disebabkan kekangan kewangan.
Dalam pada itu, pengurus UiTM United, Ahmad Tarmizy Mohammed menyasarkan kelompok empat terbaik pada penampilan pertama Liga M4.
"UiTM United tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjadi juara pada penampilan musim ini.
"Sebaliknya pasukan akan memberikan persembahan sehabis baik bagi meraih slot empat terbaik liga seterusnya slot saingan Liga M3 pada musim depan,” katanya.
UiTM United akan menyingkap cabaran Liga M4 menentang kelab dari Terengganu, Real Chukai FC di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu ini.