SABAK BERNAM - Seorang lelaki disyaki membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil empat bulan di kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar di sini akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pendakwaan terhadap suspek dijangka pada sebelah pagi.
Iklan
Iklan
"OKT (Orang Kena Tahan) bagi kes bunuh berkenaan akan dituduh di mahkamah tersebut pagi esok (Khamis)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, reman lelaki berusia 20 tahun itu disambung lima hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada Isnin.
Mangsa yang berusia 21 tahun sebelum ini dilaporkan dibunuh pada 22 Mei lalu dipercayai kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit bersama mangsa.
Mayat mangsa kemudiannya ditemui keesokan harinya selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 8.15 pagi.
Polis menahan suspek berusia 20 tahun pada hari yang sama di sekitar Sungai Besar.