LIMA lelaki yang menyiarkan penstriman secara haram perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dikenakan hukuman penjara di United Kingdom (UK) pada Rabu.
Anggota kumpulan itu dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 11 tahun setiap seorang selepas EPL membawa kes yang dikatakan pendakwaan terbesar dunia bagi rangkaian penstriman haram.
Defendan berumur antara 30 dan 46 tahun, memperoleh lebih daripada £7 juta (AS$8.7 juta) menjual langganan kepada tiga platform haram yang menstrim kepada lebih 50,000 pelanggan dan penjual semula.
"Organisasi itu menawarkan akses haram untuk menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris, ratusan saluran dari seluruh dunia dan puluhan ribu filem dan rancangan TV atas permintaan,” kata Liga Perdana Inggeris dalam satu kenyataan.
Dalang kumpulan itu, Mark Gould berusia 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara 11 tahun di Chesterfield Justice Centre di tengah England manakala empat lain menerima hukuman antara tiga hingga lebih lima tahun.
Pendakwaan disokong pasukan piawaian perdagangan di Majlis Hammersmith dan Fulham di London dan organisasi perlindungan harta intelek FACT (Persekutuan Menentang Kecurian Hak Cipta).
"Hukuman hari ini adalah hasil pendakwaan yang panjang dan kompleks terhadap operasi yang sangat canggih.
"Hukuman dijatuhkan merupakan hukuman terpanjang pernah dikeluarkan untuk jenayah berkaitan cetak rompak, membuktikan usaha yang dilakukan untuk membawa individu ini ke muka pengadilan dan mencerminkan tahap keterukan dan tahap jenayah,” kata peguam agung Liga Perdana Inggeris, Kevin Plumb.