Raih 18 tan tembikai musim panas

Iklan
Muhammad Ameer (depan) menunjukkan tembikai merah manakala Husaini menunjukkan tembikai isi kuning.

PEKAN - Pekebun kecil tembikai di Kampung Ubai di sini mampu meraih hasil sehingga 18 tan semusim bagi pengeluaran buah itu pada musim panas ini.

Husaini Abdullah, 46, berkata, cuaca panas sejak awal April lalu menyebabkan produktiviti tembikai meningkat sehingga 50 peratus berbanding musim lain.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ia sekali gus memberikan limpahan rezeki kepada pekebun kecil tembikai di Kampung Ubai di sini yang terlibat dengan aktiviti pertanian itu secara tradisi.

"Kali ini permintaan buah tembikai daripada pemborong dan peruncit cukup tinggi. Kalau ikutkan pasaran hanya sekitar Kuantan- Pekan, tapi saya turut terima tempahan dari Negeri Sembilan dan Selangor.

Iklan

"Jadi, saya bolehkah musim panas ini pemberi rahmat (rezeki) kepada kami pekebun," katanya ketika ditemui kebun tembikai miliknya di Kampung Ubai di sini pada Rabu.

Musim panas membawa rezeki berganda apabila pengeluaran tembikai meningkat.

Dia memberitahu, kebiasaan pekebun tembikai di Kampung Ubai mengusahakan tanaman tembikai dua kali setahun iaitu bermula penghujung Disember sehingga Mei.

Iklan

Jelasnya, namun aktiviti penanaman itu akan berhenti antara Jun sehingga Ogos.

"Pada tempoh itu (Jun hingga Ogos) kita terpaksa berehat kerana cuaca pada ketika itu tidak sesuai untuk penanaman tembikai.

"Jika kita meneruskan aktiviti penanaman itu, ia menyebabkan kos penjagaannya juga meningkat selain tanaman akan lebih mudah terdedah dengan penyakit," ujarnya yang lebih 10 tahun mengusahakan tembikai jenis Boci.

Seorang lagi pekebun, Muhammad Ameer Faris Muhamad Akhir, 25, mengusahakan kebun tembikai di atas tanah seluas 0.6 hektar yang pernah diusahakan ibu bapanya sejak dua tahun lalu.

Ujarnya, terdapat kira-kira 1,500 pokok tembikai di kebun miliknya yang dianggarkan mampu menghasilkan buah sehingga 6,000 biji sepanjang musim ini.

Muhammad Ameer menambah, walaupun harga tembikai pada ketika ini lebih murah iaitu RM2 sekilogram, namun permintaan sungguh memberangsangkan.

"Kita masih dapat untung walaupun tembikai dijual pada harga RM2 sekilogram, tetapi kuantiti buah yang banyak dan permintaan tinggi membantu memberikan keuntungan berbanding pada musim sebelum ini,” katanya.