HASRAT skuad hoki remaja negara untuk mara ke perlawanan akhir Piala Remaja Asia 2023 tidak kesampaian apabila disekat pasukan pilihan Pakistan, 2-6 dalam aksi separuh akhir awal pagi Khamis.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Belia Sultan Qaboosa, Salalah, Oman itu gol The Young Tigers dijaringkan hasil pukulan sudut penalti T Perabu minit ke-21 dan gol padang minit ke-45, Muhammad Danish Aiman.
Sementara itu, gol Pakistan dijaringkan Rehman yang meledak hatrik (m-44, m-48, m-51), Mohammad Khan (m-42), Abdul Shahid (m-47) dan Arbaz (m-58).
Keputusan itu menyaksikan anak buah Muhamad Amin Rahim akan berentap dengan Korea Selatan yang tewas 1-9 kepada India dalam satu lagi aksi separuh akhir.
"Saya puji persembahan para pemain Young Tigers yang beraksi cemerlang untuk tiga suku permainan pada hari ini, namun kita tidak mampu beraksi dalam suku terakhir berikutan masalah kekuatan fizikal.
"Menerusi keputusan ini juga kami akan bekerja lebih keras bagi memperkuatkan fizikal para pemain bagi menghadapi kejohanan yang lebih besar terutama sekali Piala Dunia Remaja,” kata Muhamad Amin kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Mengenai perlawanan berdepan Korea Selatan, pesanan Muhamad Amin kepada pemain-pemain Young Tigers,"Kita sekali lagi bertemu Korea Selatan, dan mereka bukan lawan mudah sebab kami mengetahui mereka mempunyai kekuatan dari segi fizikal.
"Para pemain harus bijak memanfaatkan setiap peluang, serta menutup segala kelemahan pasukan bagi memastikan kami keluar dengan kemenangan dalam penentuan tempat ketiga keempat.
"Kemenangan pastinya akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain dan juga pasukan untuk memburu lebih banyak lagi kejayaaan pada masa depan."
Piala Remaja Asia 2023
Penentuan Ketiga Keempat
KHAMIS (1 JUN)
Malaysia lwn Korea Selatan
(Kompleks Belia Sultan Qaboos, 9.30 malam)