Pemuda OKU terlantar, terpaksa lupakan cita-cita

Iklan
'Iasah menunjukkan gambar Muhammad Azwan yang kini dirawat di Hospital Machang akibat kemalangan pada 12 Mei lalu.

MACHANG - Impian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pencipta kandungan (content creator) tinggal kenangan apabila kini terlantar di katil hospital akibat dilanggar babi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.30 petang, 12 Mei lalu turut menyebabkan Muhammad Azwan Zani, 29, cedera parah sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di bahagian kepala pada hari sama di Hospital Kubang Kerian.

Iklan
Iklan

Ibunya, 'Iasah Jidin, 63, berkata, keadaan Muhammad Azwan kritikal sehingga dia ditidurkan selama seminggu sebelum dipindahkan ke Hospital Machang.

"Bagaimanapun, anak saya kini sudah boleh membuka mata tetapi masih tidak boleh bergerak malah terpaksa minum susu melalui leher yang ditebuk," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Baka, Machang di sini pada Rabu.

Iklan

Berkongsi kejadian yang menimpa Muhammad Azwan, 'Iasah memberitahu, anaknya yang juga OKU masalah pembelajaran menunggang motosikal untuk keluar mengambil gambar suasana petang di Kampung Kemuning.

"Dia memang selalu keluar untuk merakam video dan gambar suasana alam semulajadi sebelum dikongsi di media sosial miliknya.

Iklan

"Ketika itu ada beberapa penduduk setempat sempat melihat seekor babi dengan laju melintas jalan sebelum merempuh Muhammad Azwan yang sedang menunggang motosikal," katanya.

Rempuhan itu mengakibatkan bahagian kepala anak bongsu daripada sembilan beradik itu mengalami pendarahan serius dan pembedahan membuang sebahagian tempurung kepala terpaksa dilakukan.

Akibat keadaan itu, jelas 'Iasah, mereka sekeluarga kini buntu memikirkan kewangan untuk menyediakan keperluan utama anak bongsu daripada lapan beradik iaitu susu formula khas, lampin pakai buang dan penyedut kahak.

Jelasnya, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 itu tidak mencukupi untuk membeli keperluan berkenaan.

Lebih memeritkan kata 'Iasah, suaminya, Zani Sulaiman, 73, tidak dapat melihat kerana sedang menjalani rawatan selaput mata beberapa hari lalu.

Katanya, rutin menjaga Muhammad Azwan di hospital dilakukan secara bergilir-gilir bersama anaknya yang tinggal berdekatan, Siti Rogayah Zani, 43.

"Saya hanya mampu berharap Muhammad Azwan kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya sangat rindukan keadaannya ketika sihat kerana dia banyak membantu untuk membelikan barangan keperluan rumah memandangkan saya tidak mampu berjalan jauh," katanya.

'Iasah biasanya akan menunjukkan tin atau pembalut makanan yang sudah kosong bagi membolehkan Muhammad Azwan faham dan dapat membelikan barang yang diperlukan itu.

Orang ramai yang mahu membantu boleh memberi sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0301341100010047 atas nama 'Iasah Jidin atau menghubungi Rohani Zani di talian 010-2726547.