[VIDEO] Skuad Lipan Bara tenangkan hati jemaah haji

Iklan
Wan Shamsol (kiri) bersama anggotanya menyantuni jemaah haji berhampiran Hotel Abraz Janadriyah.

MAKKAH - Sudah menjadi lumrah di sini, jemaah haji terutama warga emas yang tersasar dan lupa arah jalan pulang ke penginapan masing-masing selepas melakukan ibadat di Masjidil Haram.

Penulis sendiri pernah terserempak dengan enam jemaah haji wanita warga emas yang dilihat mundar-mandir kerana keliru jalan pulang apabila laluan kebiasaan mereka ditutup oleh pengawal Masjidil Haram.

Iklan
Iklan

Tidak mahu keresahan mereka berpanjangan, penulis bersama rakan petugas media agensi lain menawarkan diri untuk membantu mereka menunjukkan arah pulang ke penginapan masing-masing.

"Alhamdulillah syukur dapat jumpa anak-anak (petugas media) semua kerana makcik dah cuba nak cari jalan pulang tapi tak jumpa, mungkin sebab jemaah lain pun ramai jadi tak nampak jalan,” katanya.

Iklan

Apabila sudah mengiringi makcik-makcik tersebut berjalan beberapa meter, kelihatan petugas haji yang ditugaskan khas untuk berada di ‘checkpoint’ tertentu bagi membantu jemaah yang berada dalam kesulitan.

Petugas ini berbaju merah dengan lencana petugas haji, berseluar hitam dan membawa beg sandang memudahkan jemaah mengenali bahawa mereka adalah petugas yang akan membantu jemaah.

Sesi taklimat sebelum Skuad Lipan Bara memulakan tugas mereka.

Iklan

Di sini mereka popular dengan nama Skuad Lipan Bara kerana penampilan berbaju merah dan bergerak dalam kumpulan.

Mereka merupakan Unit Peronda yang terdiri daripada anggota Polis Bantuan Tabung Haji (TH) yang telah dibentuk khas untuk membantu jemaah bermula 26 Mei lalu hinggalah operasi haji berakhir.

Buat masa ini sebelum operasi Masyair, seramai 18 anggota Skuad Lipan Bara akan bertugas selama 24 jam mengikut giliran tiga syif di lapan lokasi ditetapkan di sekitar Masjidil Haram.

Ketua Unit Peronda, Wan Shamsol Husin berkata, lokasi itu ialah di kawasan tandas di Marwah kerana kebiasaannya jemaah apabila keluar tandas hilang arah untuk kembali ke dalam masjid semula.

Wan Shamsol

Katanya, lokasi kedua kawasan sekitar pintu Marwah, pintu Assalam (Pos 3), kawasan dataran Safwah ke Ajyad (Pos 4), kawasan dataran laluan Zamzam Tower (Pos 5), kawasan dataran laluan ke Misfalah (Pos 6).

Ujarnya, di kawasan dataran luaran ke Hafaer terdapat dua pos menempatkan dua petugas kerana kawasan itu luas.

Menurut Wan Shamsol, Skuad Lipan Bara juga mempunyai hubungan baik dengan pengawal Masjidil Haram yang memudahkan urusan untuk membantu jemaah.

"Kita juga bantu jemaah yang ada masalah kesihatan seperti menghantar mereka menaiki kenderaan disediakan TH untuk ke lokasi ditetapkan.

"Anggota kita juga turut dilengkapi gunting bagi membantu jemaah yang kadangkala tidak dapat melengkapkan tahalul selepas melakukan tawaf dan saie,” katanya.

Seorang anggota Skuad Lipan Bara, Mohd Shaher Sharif berkata, tugasan di sini agak mencabar kerana perlu peka untuk mengenal pasti jemaah yang hilang arah.

Mohd Shaher

Katanya, mereka juga perlu pantas apabila terdapat jemaah yang hadapi masalah kesihatan ketika berada di Masjidil Haram dan memerlukan bantuan segera untuk dirujuk ke hospital.

"Semua cabaran itu dapat diatasi dengan mudah kerana kami bergerak sebagai satu pasukan dan skuad ini sudah berpengalaman untuk berhadapan dengan pelbagai situasi,” katanya.

Seorang lagi anggota, Wan Muhammad Norhakim Wan Mohd Nasir berkata, ahli pasukannya perlu sentiasa berada dalam keadaan cergas kerana perlu bergerak dalam jarak yang jauh untuk membantu jemaah.

Wan Muhammad Norhakim

"Keadaan cuaca panas adalah cabaran bagi kami tetapi semuanya terkawal kerana kami semua sudah bersedia sejak dari tanah air lagi untuk memberikan khidmat terbaik kepada jemaah,” katanya.