Syor tawar skim ganjaran menarik, elak doktor hijrah Singapura

Iklan
Onn Hafiz (tengah) melancarkan sambutan Hari Jururawat di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran menawarkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik kepada doktor dan jururawat di Johor untuk mereka terus berkhidmat di negeri ini selain mengelak mereka berhijrah ke luar negara khususnya Singapura.

Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kekurangan 2,800 staf kesihatan termasuk 680 jururawat di Johor disifatkan kritikal dan memerlukan tindakan segera KKM.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun tiada statistik khusus doktor dan jururawat yang bekerja di Singapura, namun jumlahnya dilihat semakin meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk mata wang dolar Singapura yang lebih tinggi.

"Penghijrahan doktor dan jururawat ke Singapura telah memberi kesan kepada Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di mana berlaku kesesakan pesakit setiap hari terutama di klinik pakar.

Iklan

"Klinik pakar HSA yang merekodkan 1,800 janji temu pesakit sehari manakala 1,900 janji temu klinik pakar di HSA. Selain itu, ia juga menjejaskan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma HSA dan HSI yang puratanya menerima antara 400 hingga 600 pesakit sehari

"Justeru itu, kita mencadangkan skim ganjaran dan tangga gaji lebih menarik kepada doktor dan jururawat yang berkhidmat di negeri ini dapat ditawarkan kerajaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran sambutan Hari Jururawat di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa di sini pada Khamis.

Pelancaran sambutan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tian Soon

Dalam pada itu, Tian Soon berkata, KKM akan menghantar pelan cadangan terperinci bagi menyelesaikan isu kekurangan doktor dan jururawat kritikal di negeri ini selepas perbincangan dan lawatan di HSI pada Rabu.

"Perbincangan bersama KKM selepas tinjauan di HSI sangat positif. Malah KKM juga memberi jaminan untuk tambah staf perubatan di negeri ini.

"Kita mahu dua wad yang tidak beroperasi di HSI akibat kekurangan doktor dan jururawat dapat dibuka segera, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan.

"Dua wad tersebut dapat menempatkan 108 katil," katanya.