Kaji semula kadar pencen bekas ADUN Pahang

Iklan
Sharkar (kiri) ketika melawat Rahimah pada program ziarah kasih di Dailycare KPJ Teluk Sisek di sini.

KUANTAN – Kerajaan negeri akan mengkaji semula penyelarasan kadar pencen bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang bersesuaian dengan keperluan semasa dan peningkatan kos sara hidup pada ketika ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudi bagaimanapun berkata, perkara itu akan dibawa ke pengetahuan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terlebih dahulu

Iklan
Iklan

"Kita akan kaji balik iaitu isu pencen kerana pencen kakitangan kerajaan telah dinaikkan. Namun, bagi bekas wakil rakyat ada yang naik, ada yang tidak naik.

"Jadi, kita akan kaji semula penyelarasannya dan mesti ada kesesuaian dengan keadaan semasa. kalau kita lihat harga barang naik, sewa naik, semua naik.

Iklan

"Maka kemungkinan kita akan kaji balik kesesuaian termasuk jumlahnya dan kita akan maklumkan,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah kasih ke atas bekas ADUN Tahan, Datuk Rahimah Mohammad Kawi di Kuantan Care And Wellness Centre (KPJ), di Teluk Sisek di sini.

Mohd Sharkar menjelaskan perkara berkenaan akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pahang untuk dibahaskan.

Iklan

Ujarnya, seterusnya isu yang sama akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ditanya mengenai program ziarah kasih, beliau berkata, program itu akan diteruskan sebagai tanda ingatan kepada bekas wakil rakyat di seluruh Pahang.

Menurutnya, mereka pernah memberikan sumbangan kepada Kerajaan Pahang dan sewajarnya mereka dihargai di atas khidmat yang pernah diberikan.

"Kita kena ingat pada ketika dahulu, mereka ini adalah individu yang memberi sumbangan kepada negeri. Merekalah yang membawa Rang Undang-Undang (RUU) dan Enakmen ke Dewan (DUN).

"Mereka inilah yang membahas dan menyokong sehingga kita berada dalam keadaan sejahtera begini di Pahang,” katanya.

Beliau sebelum itu turut menziarahi bekas ADUN Bera, Datuk Jaafar Salleh, 93, yang telah berkhidmat pada tahun 1978 sehingga 1982 di kediamannya di Kampung Kempadang.