Rumah Ngaji Perak jadi platform hidupkan al-Quran di hati warga Perak

Iklan
Kelas mengaji di Aish Karimah mendapat sambutan orang ramai.

KUALA KANGSAR - Bertugas sebagai pegawai kerajaan, membuatkan beliau terlalu sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga tiada masa mengikuti kelas pengajian agama. Selepas bersara awal pada 2010, beliau memanfaatkan sepenuh masa untuk mendekatkan diri di jalan ALLAH SWT.

Orang yang dimaksudkan ialah Penggerak Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah atau lebih mesra dengan panggilan Lily. Beliau telah mendaftarkan Rumah Ngaji @ Aish Karimah bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) pada 14 November 2014.

Iklan
Iklan

Menurut beliau yang juga merupakan wakil Rumah Ngaji Perak,"Aish Karimah” bermaksud kehidupan yang mulia. Manusia akan berubah dengan ilmu. Oleh itu, Rumah Ngaji @ Aish Karimah dijadikan platform untuk menyediakan kelas mengaji al-Quran secara percuma.

"Selepas bersara, barulah saya berjinak-jinak untuk mengikuti kuliah agama di Shah Alam, Subang dan Kota Damansara. Saya menyatakan hasrat kepada suami, Mohd Kamil Abu Hanipah untuk menggunakan wang simpanan dan tanah sendiri di Kuala Kangsar bagi membina sebuah pusat tahfiz.

Iklan

"Bermula 2013, bangunan siap dibina dalam masa dua tahun, namun saya tidak yakin untuk meneruskan hasrat tersebut kerana wang simpanan habis digunakan. Pada November 2014, saya mengikuti latihan ESQ. Dari situ saya tertarik dengan taklimat Rumah Ngaji yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

"Saya kemudian menghubungi dengan Marhaini sehingga membawa penubuhan Rumah Ngaji @ Aish Karimah dengan mendaftar di WUIF dan Pusat Pengajian Aish Karimah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 14 November 2014.

Iklan

"Keputusan tersebut diambil setelah kami bertemu dengan Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria. Marhaini memberitahu hasrat WUIF untuk menggerakkan Rumah Ngaji di Perak.”

Tambah Lily, pada awal penubuhan Rumah Ngaji di sini, tidak banyak kelas al-Quran diadakan di luar sana. Jadi beliau membuat gimik promosi untuk belajar al-Quran bermula dengan Alif Ba Ta secara percuma kepada semua peringkat usia.

"Ia mendapat sambutan baik apabila seramai 70 orang daripada pelbagai peringkat umur mendaftarkan diri pada hari pertama kelas diadakan. Saya menyarankan kepada ustaz agar tidak menyuruh pelajar membaca tetapi ajar mereka sampai boleh membaca.

"Kita tidak tahu siapa antara kita yang boleh membaca atau tidak. Selain kelas mengaji untuk golongan dewasa dan kanak-kanak, ada ustazah mengajar secara perseorangan bagi mereka yang malu untuk sertai kelas ramai”

Rumah Ngaji Perak bersama pihak WUIF menyantuni anak yatim pada program Feed the Needy di bawah Misi Surah Al-Insan di Pertubuhan dan Kebajikan Rumah Anak-anak Yatim/Miskin Dahikmah, Gopeng, Perak pada 22 Februari 2023.

Namun semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021, kebanyakan kelas di Rumah Ngaji @ Aish Karimah diadakan secara dalam talian. Lily berkata, tahun ini, kelas pengajian al-Quran diadakan secara bersemuka tetapi tidak sekerap sebelum ini. Ia juga bergantung kepada dana semasa bagi menggerakkan pelbagai program kerohanian.

Antara kenangan manis yang beliau ingati sehingga hari ini apabila dihargai oleh seorang pelajar yang berjaya khatam di Rumah Ngaji @ Aish Karimah pada setiap kali pertemuan. Pelajar tersebut terharu kerana dapat menunaikan haji selepas pandai mengaji. Sebelum itu dia pernah menolak dua kali tawaran haji kerana tidak pandai mengaji.

Lily berkata matlamat utama Rumah Ngaji Perak adalah memantapkan kekuatan rohani komuniti setempat melalui pengajian al-Quran. Platform tersebut memberi pendedahan komuniti setempat ke arah pemantapan kekuatan rohani melalui baca, faham dan amal al-Quran.

"Melalui Kaedah tadabbur dan tazakkur, ia mampu membumikan al-Quran dalam kehidupan kita, seterusnya mencapai visi mengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah. Melalui aktiviti Rumah Ngaji, diharapkan tujuan untuk meletakkan nilai al-Quran menjadi realiti dalam kehidupan.

"Kini sebanyak 118 Rumah Ngaji yang berdaftar di Perak. Bilangan tersebut bertambah dari masa ke masa kerana mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan swasta. Cabaran sebagai penggerak adalah dari segi dana untuk menganjurkan kelas dengan lebih banyak.

"Kita hanya meletakkan tabung untuk sesiapa yang sudi berinfak di kelas ngaji Al-Quran. Kami mendapat bantuan dana daripada pihak WUIF melalui Tabung Gerakan al-Quran dan ini dapat mengurangkan beban kos operasi Rumah Ngaji. Diharapkan sumbangan dana tersebut berterusan.”

Rumah Ngaji Perak mendapat kerjasama baik dengan WUIF dari segi sokongan bahan promosi, latihan tadabbur, dan kaedah belajar al-Quran cara mudah. Kami sebagai sukarelawan menyambut baik semua program yang dibawakan oleh WUIF.

"Kami hanya mengikut modul yang dikongsikan oleh WUIF dalam melaksanakan program berinteraksi dengan al-Quran seperti World #QuranHour, Arafah #QuranHour,Malaysia #QuranHour dan World #QuranHour.

"WUIF memudahkan cara untuk kita bekerja dalam menggerakkan gelombang al-Quran ke seluruh dunia. Selain itu, pihak kami bekerjasama dengan orang di sekeliling untuk bersinergi.”

Lily mendapat kerjasama baik dalam sahabat handai, masyarakat dan organisasi dalam menjayakan program tersebut. Antara orang yang sangat memberi sokongan dan dokongan ialah Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim dan Sahabat Sekretariat Rumah Ngaji Perak yang banyak memberi kerjasama untuk aktiviti di peringkat negeri.

Rumah Ngaji @ Aish Karimah mengalu-alukan kedatangan orang ramai untuk mengaji al-Quran secara percuma.

Gerakan Rumah Ngaji Perak menjadi lebih kukuh apabila mendapat sokongan menantu Normah, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang menjadi Menteri Besar Perak ketika itu.

Rasulullah SAW bersabda:"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain)." (Riwayat at-Tabrani).

Rasulullah SAW bersabda:"Sebaik-baik orang di antara kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat Bukhari)

Dua hadis tersebut menjadi pencetus motivasi Lily dan keluarganya untuk melakukan kebaikan di jalan ALLAH. Bagi beliau, niat perlu betul dengan mencari reda ALLAH SWT dan menyambung perjuangan Rasulullah SAW dengan mengangkat al-Quran dan Hadis.

Lily sentiasa bersedia ke hadapan untuk memberi penerangan mengenai konsep Rumah Ngaji dan mengaktifkannya kepada mereka yang berminat. Harapan beliau, Rumah Ngaji @ Aish Karimah sebagai legasi yang boleh diteruskan perjuangan oleh anak, menantu, cucu, zuriat serta sahabat-sahabat dalam memartabatkan al-Quran.

"Semoga ALLAH SWT menerima segala usaha dan ikhtiar kami sebagai amal soleh dan menjadi asbab pengampunan ALLAH buat kita semua,” katanya.

Kisah perjuangan Lily, keluarga dan sahabat-sahabatnya boleh dijadikan inspirasi kepada mana-mana individu yang berjiwa besar untuk berbakti di jalan ALLAH SWT. Dalam membuat kerja kebaikan, kita perlu lakukan secara berjemaah agar impaknya lebih besar kepada umat sejagat.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook Rumah Ngaji @ Aish Karimah.