KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yakin sokongan luar biasa rakyat atau 'gelombang hijau' yang diperoleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu masih utuh dan akan diterjemahkan dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Katanya, beliau percaya sokongan rakyat terhadap PN tidak berganjak walaupun negeri-negeri di bawah pemerintahan parti gabungan itu kini didakwa menerima banyak tekanan dari kerajaan Pusat.
"Prestasi yang disampaikan oleh kerajaan negeri yang kita perintah ini sangat menarik walaupun dalam keadaan yang banyak masalah. Terutama melibatkan masalah kewangan yang dinafikan.
"Perkara sebegini kita sudah pernah alami selama bertahun-tahun. Tapi tak mengapa, rakyat memahami permasalahan ini dan kita lihat gelombang itu telah berlaku dalam PRU15.
"Rakyat (ketika itu) menolak parti lain dan menyokong kita (PN). Gelombang ini masih ada sehingga hari ini khususnya dalam kalangan pengundi muda," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan perubahan positif dari segi sokongan yang akan diterima pada PRN akan datang bukan hanya berlaku negeri-negeri di bawah pentadbiran PN.
"Ia dijangka turut melibatkan beberapa negeri termasuk Selangor," katanya.
Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka akan mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri terbabit berbeza.
PRN dijangka berlangsung pada Ogos depan selepas negeri-negeri berkenaan memutuskan untuk menangguhkan pembubaran DUN negeri masing-masing dalam PRU15 yang berlangsung pada November tahun lalu.
Terdapat DUN negeri yang automatik akan terbubar pada Jun ini berdasarkan kepada tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Pada PRU15 lalu, gabungan PN memenangi 73 kerusi Parlimen termasuk 49 kerusi dari calon Pas.