Bicara saman Siti Nordiana terhadap Lan Solo, Syura Oktober ini

Iklan
Siti Nordiana, Lan, Syura

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman fitnah penyanyi, Siti Nordiana Alias terhadap lima individu termasuk dua rakan artis, Lan Solo dan Syura di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, ditetapkan bermula Oktober depan.

Prosiding akan dijalankan selama 12 hari iaitu 3, 4 dan 5 Oktober; 7, 8, 9, 28, 29 dan 30 November manakala Disember pada 5 hingga 7.

Iklan
Iklan

Peguam, Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selaku plaintif berkata, tarikh perbicaraan ditetapkan semasa pengurusan kes yang dibuat secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Syalia Ain Zainuddin.

Dalam kes ini, Siti Nordiana memfailkan saman terhadap Lan atau nama penuhnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya, Nur Sheila Hassim, 36; penyanyi, Syura, 35 iaitu Zuraidah Badron; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43 dan jurusolek artis, Razidah Senusi, 42 sebagai defendan.

Iklan

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud dia bukan seorang artis yang bersih, egois, tidak mendengar nasihat, enggan menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Abang Azlan berkata, lima saksi termasuk Siti Nordiana yang juga Juara Gegar Vaganzar musim kedua untuk memberi keterangan.

Iklan

Sementara Lan Solo, Syura dan Nur Sheila pula akan memanggil empat saksi manakala Sam Musyadzafar dan Razidah mengemukakan masing-masing tujuh saksi.

Pada 30 Julai 2021, Siti Nordiana, 39, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Sam Musyadzafar dan Razidah untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menerusi pernyataan tuntutan Siti Nordiana atau lebih dikenali Nana, penyanyi itu mendakwa siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila telah disertai empat defendan di akaun Instagram masing-masing.

Mereka didakwa telah menyiar, mengeluar dan menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya, pada 20 Julai 2021.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.

Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun itu dijangka bertambah dan reputasinya telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.

Plaintif mendakwa sebelum memulakan tindakan saman itu, dia melalui peguamnya menyerahkan Notis Tuntutan melalui serahan tangan dan emel kepada kesemua defendan yang menuntut antara lain permohonan maaf dalam tempoh 24 jam selain ganti rugi sebanyak RM200,000 namun mereka gagal berbuat demikian.

Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook, secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.

Dia menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.