BAGAN DATUK - Pembinaan jambatan baharu menghubungkan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop di sini memberi makna besar kepada penduduk setelah sekian lama terpaksa menempuh laluan perjalanan yang panjang.
Sebelum ini pengguna jalan raya dari Sitiawan perlu melalui Jalan Hutan Melintang ke Bagan Datuk yang mengambil masa lebih satu jam dengan jarak perjalanan melebihi 50 kilometer.
Namun keadaan itu bakal berubah dengan pembinaan Jambatan Sejagop yang memendekkan perjalanan ke 15 minit sahaja melalui jarak hanya 10.5 kilometer.
Penduduk, S Palaniandy, 53, mengakui teruja dan gembira dengan perkembangan positif dilakukan kerajaan itu dalam memberikan lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada komuniti sekitar.
Menurutnya, memang sejak cadangan jambatan itu diumumkan, penduduk sudah tidak sabar mahu melihat kemudahan tersebut boleh digunakan.
"Jambatan ini diibaratkan sebagai nadi dan penghubung penting Bagan Datuk untuk ke bandar-bandar utama seperti Lumut, Manjung, daerah Perak Tengah dan Hilir Perak.
"Terima kasih atas usaha Datuk Seri (Dr Ahmad Zahid Hamidi) hingga menjadikan jambatan ini siap sepenuhnya. Sumbangan Timbalan Perdana Menteri ini sangat besar kepada penduduk," katanya.
Noor Izzah Sinar, 38, dari Rungkup Kecil pula yakin, kemudahan jambatan itu akan melonjakkan aktiviti ekonomi setempat terutama kalangan industri kecil sederhana (IKS).
Beliau yang mengusahakan perniagaan sushi dan kek sudah merangka mahu meluaskan pasaran ke daerah-daerah sekitar berikutan jalan penghubung yang memberikan tempoh perjalanan lebih singkat.
Muhamad Lokman Khairi, 23, pula berkata, tuntutan tugas sebagai wartawan ada kalanya memerlukannya berulang alik lebih 10 kali sebulan dari kediamannya di Kampung Gajah ke Bagan Datuk.
"Adanya jambatan ini, dapatlah jimatkan kos pengangkutan dan masa, tidak lagi perlu memandu jauh-jauh," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan perasaan gembira dan teruja kerana sebuah jambatan yang diilhamkan dan majlis pecah tanahnya pada tahun 2017 ini akhirnya dapat disiapkan.
"Walaupun terdapat pelbagai kekangan termasuklah cabaran pendamik Covid-19, Jambatan Bagan Datuk-Sejagop akan tersedia untuk kegunaan serta manfaat kepada lebih 70,000 pengguna jalan raya, khususnya untuk penduduk Bagan Datuk.
"Jambatan ini akan memangkin ekonomi Bagan Datuk, merintis peluang yang lebih luas untuk dinikmati penduduk daerah ini. Impian saya mahu melihat Bagan Datuk terus membangun, menjadi maju seperti daerah-daerah lain,” katanya.
Projek Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja Raya itu dapat memendekkan perjalanan ke pekan-pekan kecil dari kawasan sekitar Pekan Bagan Datuk, Selekoh, Sungai Sumun dan kampung berdekatan antaranya Kampung Kayan, pekan Sri Iskandar, Bota, Parit, Changkat Lada di Perak Tengah, Sitiawan, Manjung dan Lumut.
INFO JAMBATAN SEJAGOP
- Merentasi Sungai Perak sepanjang 1.5 kilometer.
- Mempunyai 26 pier dan 27 span dengan panjang box girder 340 meter.
- Menggunakan Elevated Piled Slab (EPS) sebagai road structure sepanjang 8.27 kilometer bagi mengatasi masalah banjir.
- Reka bentuk jambatan mengambil kira ruang utiliti seperti paip air Lembaga Air Perak (LAP) bagi bekalan air ke Bagan Datuk.
Sumber: JKR