KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengakui tawaran kerjasama bagi menyertai Kerajaan Perpaduan diterima selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Beliau mendakwa, ketika itu pelawaan tersebut diberikan melalui 'broker' parti politik termasuk dari dalam dan luar negara.
"Memang banyak broker yang datang jumpa saya, tapi (pemimpin utama) tak nak mengaku (berkenaan tawaran yang diberikan).
"Ia (tawaran) dibuat selepas pilihan raya. Yang terbaru tak adalah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Terengganu International Summit 2023 (TIS2023) di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini pada Khamis.
Menurut Abdul Hadi, walaupun pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan BN menafikan, tawaran kerjasama itu wujud dan berlaku.
"Mereka ni datang dari dalam negeri, ada yang dari luar negeri. Semua datang jumpa saya nak pujuk, tapi saya jawab macam tadilah, mereka tak tahu tentang politik Malaysia.
"Ada juga (pemimpin lain didekati tawaran seumpama itu) kerana Pas bukan parti saya seorang, tapi saya sebagai pemimpin utama, mereka jumpa sayalah dan saya laporkan kepada pimpinan parti," katanya.
Abdul Hadi menegaskan, Pas tetap dengan pendirian menolak sebarang bentuk kerjasama kerana menyifatkan kerajaan ketika ini adalah pakatan yang lemah dan didominasi oleh pemimpin bukan Islam.
Jelas beliau, kerajaan sedia ada (Pakatan Harapan dan BN) tidak sesuai memerintah Malaysia kerana dibayangi oleh pemimpin DAP.
"Oleh itu, kita menolak sebarang tawaran kerjasama dengan kerajaan sekarang sebaliknya akan terus perkasakan Perikatan Nasional (PN) dan mengajak pihak lain bersama kita kerana kita semakin mendapat tempat di hati rakyat, mendominasi isu-isu rakyat," katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa beberapa individu ada menghubunginya untuk mengajak berjumpa bagi menawarkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendakwa, tawaran itu muncul kerana PH khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyedari kedudukannya goyah dan jumlah kerusi Melayu dalam parti berkenaan tidak banyak.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya berhubung perkara itu menafikan wujud tawaran supaya Pas menyertai kerajaan.