KUANTAN - Terharu, gembira, tak terkata. Itulah yang dirasai wanita ini apabila dikejutkan dengan kehadiran lori Milo di hadapan rumahnya di Bukit Istana di sini, hari ini.
Semuanya bermula dengan tularnya video rakaman ibu mertuanya yang mengejar sebuah lori Milo di lebuh raya hanya untuk mendapatkan air Milo untuknya.
Natasya Rose Nizam, 23, yang kini hamil lapan bulan sudah mengidam minuman itu sejak kandungannya berusia dua bulan.
Tidak menyangka akan dapat melihat lori hijau dengan air berperisa coklat yang dikatakan tidak sama dengan yang dibeli di kedai mahupun pasaraya.
"Sejak awal mengandung sampai sekarang, saya dah minum macam-macam air Milo saya cuba, kotak atau tin, tapi rasa tak sama macam dari lori.
"Bila minum dari lori ni, seolah-olah mengimbau kenangan bagaimana rasa sedapnya air milo lori masa sekolah dahulu," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Kejutan yang dibuat oleh suaminya Muhammad Azmer Mohd Badrul Merzam benar-benar menggembirakan Natasya Rose.
"Tak tahu nak kata apa bila nampak lori Milo depan rumah, sebabnya sebelum ini, suami hanya ajak keluar rumah sahaja... terharu kerana tidak sangka impian saya untuk minum air Milo daripada lori akhirnya tercapai.
"Terima kasih kepada Milo dan pihak Nestle atas keprihatinan ini yang telah tunaikan hasrat saya.
"Terima kasih juga kepada mereka yang menjadikan kisah saya ini tular. Saya sangat gembira," katanya.
Terdahulu, tular di media sosial kisah ibu mertua Natasya Rose, Datin Hasmazura Shahbudin, 46, yang mengejar lori Milo untuk menantunya.
Video yang dirakam Muhammad Azmer itu dikongsi di laman Twitter.
Katanya, perkongsian di media sosial itu hanyalah sekadar hiburan melihat usaha ibunya sanggup meminta pemandu lori Milo berhenti di tepi jalan.
"Saya rasa ia kelakar kerana mak dan adik saya mengejar lori milo tersebut padahal isteri saya tidak pernah paksa sesiapa cuma dia kata teringin sahaja
"Tak sangka benda ini sekejap sahaja tular dan Isnin lalu pihak Nestle hubungi saya mengenai video itu dan tengah hari mereka sampai untuk kejutan kepada isteri," katanya.
Dalam pada itu, Hasmazura melahirkan rasa kesal dengan sesetengah sikap individu yang meninggalkan komen-komen negatif terhadap menantunya yang sedang sarat mengandung.
"Natasya Rose tidak pernah paksa kami pun untuk dapatkan air lori Milo, semuanya kebetulan sahaja kami terserempak ketika sedang memandu di Jalan Pintasan Kuantan Pelabuhan berdekatan Indera Mahkota.
"Agak sedih masa tahan itu tak dapat air Milo... tapi saya gembira hari ini lori Milo dapat datang sendiri di hadapan rumah dan seronok saya tengok Natasya Rose akhirnya dapat minum air Milo daripada lori," katanya.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Pengguna, Unit Perniagaan Milo, Maria Murni Nur Azmi berkata, ini merupakan julung kalinya pihaknya mengadakan kejutan buat ibu hamil.
"Pada ketika ibu mentua Natasya Rose tahan di tepi jalan, kita tidak dapat berikan air Milo kepadanya kerana keadaan kawasan lori berhenti tidak selamat di samping Milo belum dibancuh.
"Jadi kita ambil pendekatan untuk lakukan kejutan kepada Natasya Rose dan terima kasih serta penghargaan kepadanya kerana dari kecil sampailah dia mengandung, dia suka air Milo," katanya.