KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan satu mesyuarat pada pertengahan Jun ini, bagi membincangkan garis panduan baharu prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berikutan pengumuman penamatan status kecemasan kesihatan global Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kementerian mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang pengumuman dengan mengambil kira Malaysia yang masih ditetapkan di bawah Kawasan Jangkitan Tempatan yang berakhir 30 Jun ini.
"Jadi, pada pertengahan Jun nanti kita akan meneliti SOP dan lihat bagaimana kita boleh membuat kemas kini daripada situ,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kuala Lumpur Wellness City (KLWC) di galeri jualan KLWC di Bukit Jalil, pada Khamis.
Beliau berkata, pindaan terhadap SOP berkenaan termasuk membabitkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam.
Mengulas mengenai pelancaran KLWC, beliau berkata, ia menandakan satu langkah berani ke arah mewujudkan masyarakat yang mampan dan inklusif dengan meletakkan keutamaan terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
"Inisiatif berwawasan ini mewakili komitmen untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik ke arah membina sebuah negara lebih sihat, yang mengiktiraf kesalinghubungan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial,” katanya.
KLWC merupakan projek perbandaran khas pertama dibina di Asia Tenggara bagi memupukan gaya hidup bersepadu sepenuhnya dengan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion merangkumi lebih 10.72 hektar tanah.
Projek berkenaan menampilkan ekosistem lengkap untuk kesejahteraan dan kesihatan seperti The Nobel Healthcare Park, Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH), makmal inovasi, fasiliti penyelidikan klinikal dan pembangunan, menara pejabat penjagaan kesihatan, pusat peranginan pesara, hab penjagaan kesihatan dan taman berasaskan kecergasan.
Dr Zaliha turut mengulangi pendirian KKM untuk menyokong inisiatif dipacu oleh sektor swasta seperti KLIH dalam meningkatkan industri pelancongan kesihatan negara supaya dapat bersaing dengan negara pesaing seperti Thailand dan Singapura.
Pengarah Urusan KLWC, Datuk Dr Colin Lee dalam kenyataan berkata, projek berkenaan bertujuan menyokong rancangan rasional Malaysia untuk diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan.
"KLWC direka bentuk untuk menyediakan dan mengutamakan kesihatan serta kesejahteraan sebagai nadi pembangunan, melalui visi hab kesihatan 360 darjah berpusat di sekitar perbandaran merangkumi semua aspek penjagaan perubatan, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan dan perniagaan lengkap dengan kediaman, runcit dan komersial,” katanya. - Bernama