PORT DICKSON - Isu pantai Port Dickson terus hangat apabila ada individu tampil mendakwa dikenakan bayaran RM350 untuk menaiki bot donut di Pantai Cahaya Negeri.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook pada Rabu yang turut meluahkan rasa kecewanya susulan kejadian tersebut.
Pengguna tersebut memberitahu berasa tertipu apabila bayaran yang dijanjikan pada awalnya RM70 untuk ronda-ronda di pantai, namun sebaik selesai aktiviti tersebut, mereka perlu membayar RM350.
"Janji mula-mula naik cuma RM70 satu bot, lepas selesai ronda-ronda dia minta sampai RM350. Katanya RM70 satu kepala," tulisnya.
Beliau menjelaskan, harga dikenakan tidak munasabah dan satu laporan polis turut dibuat berhubung kejadian.
Hantaran tersebut kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada pelayar Facebook.
Salah seorang daripadanya menjelaskan sudah tidak berminat untuk ke pantai peranginan itu walaupun dia merupakan anak jati Negeri Sembilan manakala seorang lagi pelayar berpandangan tidak perlu menggunakan perkhidmatan seperti itu di Port Dickson.
"Selagi air laut tu free (percuma) pergilah mandi saja, yang lain-lain tak perlu takut. Tak lama lagi nak mandi laut pun kena caj sejam RM10," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan menyarankan individu berkenaan membuat aduan kepada KPDN melalui https://eaduan.kpdn.gov.my/ atau talian hotline 1-800-886-800 atau https://linktr.ee/kpdn.
Muhammad Zahir berkata, KPDN akan membuat siasatan aduan setelah aduan lengkap diterima dan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada pengadu.
"Bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil, pengadu perlu melengkapkan aduan dengan maklumat dan dokumen yang diperlukan dalam sistem e-aduan. Aduan tidak lengkap akan menyebabkan tindakan sukar diambil.
"Siasatan KPDN adalah mengikut Seksyen 12 Akta Pelindungan Pengguna 1999 dan Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.