KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera membuka permohonan untuk menjadi pengundi pos di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu bagi memudahkan pengundi terutama dari luar negara membuat persiapan.
Menurutnya, negeri-negeri yang akan menghadapi PRN ialah Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.
"SPR tidak semestinya perlu menunggu sehingga semua negeri tersebut membubarkan DUN masing-masing sebelum membuka permohonan kepada pengundi pos.
"Ia terutamanya pengundi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara seperti pelajar dan mereka yang bekerja serta menetap di luar negara untuk memohon menjadi pengundi pos dalam PRN nanti," kata kenyataan itu pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, mengambil iktibar daripada pilihan raya lalu, jumlah pengundi pos kategori 1B meningkat daripada 7,979 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ke 48,109 peratus pada PRU15, peningkatan sebanyak 600 peratus.
"Pembukaan permohonan undi pos lebih awal akan memberikan lebih banyak masa kepada pengundi, justeru lebih ramai yang layak akan dapat memohon sebagai pengundi dalam PRN nanti," jelas kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, SPR perlu sentiasa ingat bahawa adalah menjadi tanggungjawab perlembagaan untuk mereka memastikan bahawa setiap rakyat yang layak mengundi diberikan akses pengundian yang mencukupi bagi pengundi melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dalam pilihan raya.
"Selain daripada membuka permohonan undi pos lebih awal, Bersih juga mencadangkan supaya pengundi pos kategori 1C iaitu agensi atau organisasi yang dibenarkan SPR diperluaskan juga kepada petugas kesihatan dan keselamatan yang bekerja di sektor swasta seperti hospital swasta yang bertugas pada hari pengundian.
"Kejadian seperti petugas pilihan raya seperti kerani pengundian dan ketua tempat mengundi tidak menjadi pengundi pos juga tidak seharusnya berulang kembali," kata kenyataan itu.
Difahamkan pada PRU15, pasukan Pemantau Bersih telah menerima banyak aduan kerani dan ketua tempat mengundi tidak didaftarkan menjadi pengundi pos walaupun mereka telah memohon dan akhirnya mereka dinafikan hak untuk mengundi dalam pilihan raya (1) kerana terpaksa bertugas.