SHAH ALAM - Usahawan dan penggiat industri tempatan digalakkan untuk mengembangkan khidmat mesra-Muslim bagi memperkasa sektor pelancongan nasional.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, ia susulan Malaysia diumumkan sebagai ‘Destinasi Mesra-Muslim Terbaik (OIC)’ dan ‘Destinasi Mesra-Wanita Muslim Terbaik’ oleh CrescentRating dan Mastercard semasa Majlis Halal in Travel Awards yang berlangsung di Singapura pada Khamis.
Jelas beliau, terdapat kursus di bawah Pusat Pelancongan Islam (ITC) yang dapat membantu usaha khidmat mesra-Muslim itu.
"Antaranya, kursus Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) yang terbuka kepada pemandu pelancong berlesen tempatan dan program Muslim-Friendly Tourism And Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang memberi peluang pengembangan perniagaan kepada rakyat Malaysia menerusi industri Pelancongan Islam yang kini berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut perkara itu, King Sing menambah, Malaysia berbesar hati menyaksikan perkembangan sektor berkenaan yang semakin mendapat perhatian para penggiat industri pelancongan antarabangsa.
Ujarnya, prestasi membanggakan itu dibuktikan apabila berjaya menarik seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara ini pada tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion.
"Malaysia sentiasa bersiap sedia untuk mengalu-alukan lebih ramai pelancong Muslim melalui pelbagai aktiviti, perkhidmatan dan kemudahan yang menawarkan pengalaman pelancongan yang unik, menarik dan tidak dapat dilupakan.
"Ini bukan sahaja bermanfaat kepada mereka yang beragama Islam, bahkan, dapat dinikmati oleh pelancong bukan Islam yang berminat untuk mengenali budaya, warisan, sejarah dan seni bina Islam di Malaysia,” kata beliau.