MELAKA - Musim durian yang panjang dijangka hingga September depan memberi peluang kepada seorang pengusaha durian dari Bukit Kajang di sini untuk menawarkan raja buah itu dengan harga berpatutan bagi menggelakkan lambakan.
Pengusaha Malacca Durian Heng, Tan Thian Yew, 25, berkata, jika sebelum ini orang ramai terutama golongan B40 dapat membeli durian sebanyak dua atau tiga biji sahaja durian kampung dengan harga RM100, namun berbeza pada tahun ini apabila durian kampung dijual dengan harga RM10 sekilogram.
Menurutnya, meskipun harga durian turun 20 peratus, namun tidak menjejaskan pendapatannya malah menganggapnya sebagai peluang kepada orang ramai untuk menikmati pelbagai jenis durian harga lebih murah.
Tambah Thian Yew, dia juga tidak ketinggalan mempromosikan jualan duriannya di media sosial seperti Facebook dan TikTok sehinggakan ada di antara pengikutnya dari Sabah dan Sarawak sanggup turun ke Melaka untuk menikmati raja buah ini.
"Selain orang ramai yang datang membeli di gerai, saya juga ada membuat penghantaran terus jualan ke kawasan sekitar.
"Jualan durian saya juga mendapat permintaan tinggi di Singapura dan mengeksport sebanyak empat tan durian udang merah ke negara itu setiap hari," katanya ketika ditemui di Bukit Kajang di sini pada Khamis.
Ujarnya, durian udang merah paling banyak mendapat permintaan dan lebih digemari kerana ditanam di kawasan bukit tinggi.
Menurutnya, lebih tiga tan durian yang terjual setiap hari, 40 peratus daripadanya merupakan udang merah selain harga jauh lebih murah dari RM35 sekilogram sebelum ini kepada RM20 sekilogram.
"Kita juga menjual musang king dengan harga RM28 sekilogram dan 'durian baby' juga dijual secara lelong," katanya.