12 dilantik Alpa Yadim, bantu lahirkan pendakwah

Iklan
Mohd Na'im (tengah) bersama barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Alpa) Yadim baharu. - Foto Facebook Yadim

SHAH ALAM - Seramai 12 individu daripada golongan profesional berkelayakan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah (Alpa) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi memacu dan memperkasa inisiatif melestari gerakan dakwah badan berkenaan.

Menerusi hantaran Facebook Yadim pada Khamis, pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkuat kuasa 3 Mei lepas untuk tempoh selama dua tahun.

Iklan
Iklan

Antara yang dilantik ialah Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Timbalan Yang Dipertua, Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin @ Che Wan; Datuk Dr Harlina Halizah Siraj dan Dr Johari Abdullah @ Yap Guan Kheng.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar telah menyampaikan watikah lantikan kepada mereka yang dilantik di Putrajaya pada Khamis.

Iklan

Mohd Na'im berharap barisan Alpa yang baharu dilantik tersebut dapat membantu Yadim untuk terus melahirkan pendakwah yang bukan sahaja dapat menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat tetapi menjadi contoh kepada mereka.

Jelasnya, kesemua yang dilantik mewakili pelbagai lapisan masyarakat selain mempunyai kemahiran, disiplin dan pengalaman mendalam dalam bidang masing-masing seperti pendidikan, khidmat masyarakat, dakwah, keagamaan, pempengaruh serta sebagainya.

Iklan

Sementara itu, Yadim berkata, pihaknya yakin gandingan Alpa baharu dilantik tersebut dapat membawa organisasi berkenaan melaksanakan teras tanggungjawab dakwahnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan sosial.

"Pada masa sama, Yadim ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan Alpa sebelum ini atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan," ujarnya.