KAJANG - Sebuah butik pengantin, Anggun Citra Creative menawarkan pakej menarik untuk pasangan pengantin sempena pembukaan butik itu di Taman TTDI Grove, di sini, hari ini.
Pengurus Anggun Citra Creative, Hayati Supian berkata, seramai 10 pasangan pengantin yang terawal mengambil pakej yang ditawarkan berpeluang mendapat hadiah istimewa.
"Antara hadiah yang ditawarkan adalah pelamin nikah percuma, baucar bulan madu di Avillion Resort, televisyen 32 inci dan potongan rebat sebanyak RM1,000," katanya kepada Sinar Harian di Butik Anggun Citra Creative, di sini.
Hayati berkata, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan perancang perkahwinan, pelamin, busana pengantin, solekan, ukiran inai, katering, kanopi, fotografi dan sistem audio.
"Kita ada 140 pasang busana pengantin selain menyediakan dewan mini yang boleh memuatkan 100 orang untuk pelanggan mengadakan majlis nikah, tunang atau menyambut hari lahir,” katanya.
Menurutnya, Anggun Citra Creative menyediakan dua pakej iaitu pakej kanopi dan dewan.
"Harga yang paling rendah kami tawarkan kepada pelanggan adalah RM3,700 untuk majlis kecil di dewan mini di mana kami akan menyediakan meja dan kerusi serta pelamin, buffet untuk 100 orang, dan termasuk solekan dan baju pengantin,” katanya.
Bercerita detik mula membuka perniagaan ini, Hayati berkata, agak risau untuknya menceburi bidang perniagaan butik pengantin memandangkan persaingan terlalu banyak.
"Di atas saranan suami dan keluarga, saya ambil keputusan memulakan perniagaan ini selain sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga,” katanya.
Sementara itu, suami kepada Hayati, Ismail Makhtar berkata, Anggun Citra Creative menyediakan menu makanan antaranya nasi biasa, nasi minyak atau beriani, dua jenis lauk iaitu ayam atau daging dan acar serta papadom.
"Dalam menu sama, kami turut menyediakan minuman sejuk dan panas serta dua jenis kuih,” katanya.
Ismail berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Nats Catering and Services, Miezipro Production Sdn Bhd, Galaxy Event, Stampa Plt dan Bee Sound.
"Mereka merupakan vendor yang akan membantu bisnes Anggun Citra Creative,” katanya.
Ismail berharap dapat mengembangkan lagi perniagaan Anggun Citra Creative pada masa hadapan.
"Kami bercadang akan membuka cawangan di sekitar Lembah Klang antaranya di Gombak atau Selayang,” katanya.