SHAH ALAM - Prestasi enam bulan pentadbiran Kerajaan Madani dilihat bermasalah kerana pelbagai isu rakyat tidak dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik, kata Ketua Armada Bersatu Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurutnya, antara isu rakyat yang paling mendasar adalah berkenaan kos sara hidup dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Beliau berkata, rakyat masih menunggu malah kerajaan juga banyak backtrack dari segi janji manifesto mereka termasuk pelantikan yang tidak wajar.
"Semua ini menimbulkan tanda tanya apatah lagi masalah mendasar yang jelas rakyat tidak berpuas hati. Ada juga dalam kalangan menteri membuat kenyataan tidak masuk akal.
"Jadi, kita serah kepada rakyat untuk tentukan pada pilihan raya negeri (PRN) nanti. Kalau rakyat setuju mereka akan sokong kerajaan sedia ada, jika tidak sebaliknya, kita pula tunggu dan lihat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pentadbiran Kerajaan Madani juga perlu jawab kepada rakyat mengenai kejatuhan ringgit ketika ini.
"Dahulu mereka yang kata antara masalah utama negara dan kerajaan lemah adalah kerana kejatuhan ringgit.
"Sekarang ringgit dah jatuh tapi kerajaan masih tidak berupaya menstabilkannya, jadi ini formula yang mereka cakap bukan kami. Mereka perlu jawab kepada rakyat.
"Mereka yang janji kepada rakyat, kerajaan baik pentadbirannya, ringgit akan mengukuh. Jadi siapa punya formula yang salah ini?” soalnya.
Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan agar Kerajaan Perpaduan wajar diberi masa secukupnya untuk membuktikan prestasi sebenarnya dalam mengurus tadbir negara.
Ahmad Zahid menjelaskan tempoh tujuh bulan untuk menilai prestasi sebenar kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak adil.