Kim Swee cabar The Rhinos bangkit di Darul Aman

Iklan
Pemain Sabah dituntut melupakan penyingkiran saingan Piala FA dengan bangkit mengatasi Kedah Darul Aman dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.

PEMAIN Sabah FC dituntut untuk melupakan memori penyingkiran suku akhir Piala FA kepada Kuala Lumpur City di Stadium Likas, 28 Mei lalu.

Sebaliknya menjadikan Stadium Darul Aman, pentas kebangkitan pemburuan kelompok terbaik Liga Super apabila berdepan Kedah Darul Aman FC.

Iklan
Iklan

Itu gesaan pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menjelang aksi berprofil tinggi dua pasukan kelompok lima terbaik liga pada Jumaat.

"Ya, kekalahan tempoh hari kepada Kuala Lumpur City di suku akhir Piala FA tentu mengecewakan semua pihak dan bagi para pemain mereka faham tiada pilihan kecuali harus bangkit semula.

Iklan

"Biarpun merupakan perlawanan liga dan amat berbeza, namun merupakan kesempatan terbaik kita bangkit semula mendapatkan keputusan positif di Alor Setar pada malam esok,” kata Kim Swee.

Sebagai rekod, Sabah kini berada di kedudukan keempat liga dengan 24 mata manakala Kedah Darul Aman kendalian Nafuzi Zain kelima (22 mata).

Iklan

Tiga mata ke atas Kedah Darul Aman juga membolehkan Sabah memintas Sri Pahang di tangga ke tiga dengan 25 mata yang akan berdepan Kuala Lumpur City pdi Kuantan ada Ahad.

Biarpun kemenangan liga dijelmakan semula hasil kemenangan 3-1 ke atas Perak selepas diikat Terengganu FC, 2-2 di Likas, 19 Mei lalu, namun Kim Swee mengakui bukan tugas mudah berdepan skuad Kenari di Alor Setar.

"Kita tahu bermain di Alor Setar bukan satu perlawanan yang mudah namun saya percaya pemain boleh beraksi sebaik mungkin.

"Kita tahu prestasi Kedah kebelakangan ini bertambah baik dan mereka mempunyai corak permainan cukup agresif di tempat sendiri dan kita harus waspada.

"Tujuan utama kita adalah untuk mengekalkan apa yang telah dilakukan dalam saingan liga sebelum ini,” katanya.

Aksi terakhir Kedah Darul Aman menyaksikan pasukan itu tewas tipis 2-3 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 24 Mei lalu.

Berkenaan kejayaan The Rhinos mengekalkan rekod bersih enam perlawanan berturut-turut, Kim Swee mahu para pemainnya mengekalkan momentum itu.

"Rekod di mana kita tidak tewas sebanyak enam perlawanan liga sebelum ini harus kita kekalkan dan memastikan pasukan tidak kehilangan mata,” katanya.

Mengenai kesebelasan utama yang akan diturunkan berdepan anak buah Nafuzi, Kim Swee berkata;"Sabah masih lagi berdepan isu kecederaan melibatkan beberapa pemain seperti Darren Lok termasuk Saddil Ramdani.

"Biarpun begitu, saya percaya para pemain Sabah lain mampu menggalas tugas dengan baik sekiranya diberikan tanggungjawab berdepan Kedah.”