KADANGKALA kita tidak sedar perkara yang menyenangkan kita telah menyusahkan orang lain.
Baru-baru ini, seorang wanita telah menularkan kepayahan seorang lelaki buta berusaha mengalihkan sebuah motosikal yang menghalang laluannya.
Video berdurasi 28 saat itu dikongsikan wanita berkenaan di salah sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang tidak dimaklumkan secara lanjut.
Motosikal tersebut telah diletakkan di lantai tactile yang merupakan kemudahan laluan untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) terutama golongan buta.
Walaupun ada netizen kurang senang dengan tindakan wanita itu yang lebih tertarik merakam daripada membantu, namun rata-rata pengguna media sosial bersetuju isu tersebut ditularkan.
Seorang pengguna Twitter, Azizul Azhar berpandangan tindakan wanita itu bagus bagi memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kegunaan tactile tersebut.
"Barulah satu alam semesta tahu. Kalau dia tidak rakam tak dapat nak didik netizen supaya lebih sensitif dengan keadaan sekeliling OKU.
"Orang tak akan nampak susahnya OKU berdepan masalah ini jadi kalau sudah tular baru orang sedar.
"Pihak berkuasa pun boleh nampak dengan luas masalah ini,” komennya.
Rata-rata netizen juga tidak sedar akan kegunaan tactile tersebut sehingga video tersebut tular.
"Ya ALLAH, 20 tahun hidup baru tahu sebab bentuk lantai dia lain, rupanya untuk laluan OKU,” tulis Yan.
"Oh ingat laluan biasa. Maaf kak nanti saya tak parkir sana. Itu bukan motor (motosikal) saya cuma selalu juga parkir macam tu,” komen Mrpo72.
Penguatkuasaan
Kes seperti itu bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia dan kita boleh dilihat tindakan penunggang motosikal menjadikan siar kaki sebagai tempat parkir motosikal.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada minggu lalu telah berkongsi penguatkuasaan terhadap kenderaan yang telah melakukan kesalahan lalu lintas.
Operasi Bersepadu Halang Siri 2/2023 itu dilaksanakan di Jalan Tun Sambathan, Jalan Thambypillay, Jalan Berhala dan Jalan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Sebanyak 209 pemilik kenderaan telah dikompaun dan 31 kenderaan ditunda dalam operasi bersepadu halangan dijalankan oleh DBKL bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Daripada jumlah itu, DBKL telah mengeluarkan 131 notis kompaun dan lima tindakan tunda serta membuat tindakan sita atau pindah halangan ke atas 26 motosikal yang membuat kesalahan halangan lalu lintas.
Ia termasuk meletak kenderaan dilaluan awam dan laluan OKU menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hal ini jelas menunjukkan rakyat Malaysia kurang peka dengan kemudahan awam yang disediakan dan tanpa rasa bersalah meletakkan kenderaan mereka di kawasan tidak dibenarkan.
Situasi itu menyebabkan kemudahan tersebut digunakan sepenuhnya dan ada pula pejalan kaki terpaksa berjalan di atas jalan kerana kemudahan mereka telah digunakan sebagai tempat letak motosikal.
Ada juga ruang pejalan kaki dijadikan tempat orang berniaga, dipenuhi kerusi meja untuk mencari rezeki hingga menimbulkan halangan. Kesannya apabila hujan, pejalan kaki terpaksa berhujan kerana laluan pejalan kaki berbumbung telah dipenuhi kerusi meja.
Jelas di sini, tahap kepekaan dan kesedaran mengenai terhadap isu itu masih rendah hingga ada yang menyamakan pemikiran rakyat Malaysia masih berada di kelas ketiga.
Justeru, sebagai rakyat Malaysia yang telah diberi didikan seawal usia enam tahun seharusnya kita membiasakan diri mengikut peraturan.
Jangan sesuka hati meletakkan kenderaan di kawasan larangan. Kita tidak tahu tindakan kita itu mungkin menyusahkan orang lain.
Media sosial harus menjadi platform kempen kesedaran berterusan kepada masyarakat tentang kepekaan terhadap isu ini.
Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Jika sikap ini diamalkan, insya-ALLAH segala kemudahan yang disediakan dapat digunakan sepenuhnya.
Harus diingat, Malaysia merupakan negara yang menjadi destinasi pelancong, tidak seronok jika nama baik negara tercemar hanya disebabkan sikap remeh seperti ini.
*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian Selangor/KL