IPOH - Forum Perdana Ehwal Islam yang sepatutnya dihadiri Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz di Kompleks Tarbiyyah Raudhatul Jannah (Kotaraja) Ipoh, malam ini diganti dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil.
Majlis bermula jam 7.20 malam itu turut disusuli dengan solat jenazah ghaib yang diimamkan sendiri Datuk Dr Hasan Ali selaku seorang daripada panel forum berkenaan. Seorang lagi panel jemputan forum adalah mantan Imam Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Mohd Taib.
Pengetua Kotaraja Ipoh, Azhan Ishak berkata, forum malam ini diatur sempena setahun usia surau di kompleks berkenaan yang dibina hasil usaha Allahyarham.
Menurutnya, berkat usaha Allahyarham, surau berkenaan berjaya dibina daripada sumbangan orang ramai dengan kos RM1.7 juta.
"Pagi tadi saya dimaklumkan yang Allahyarham memang sedang bersiap-siap untuk datang ke sini, beg dan segala kelengkapannya pun sudah dimasukkan dalam kereta.
"Apa pun kita hanya merancang, program malam ini kita teruskan cuma diganti dengan bacaan yasin, tahlil, solat jenazah ghaib serta bual bicara husnul khatimah mengenai Allahyarham.
"Bermula malam ini juga surau itu akan dinamakan sebagai Surau Abu Hassan Din," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Allahyarham yang merupakan penaung Kotaraja sejak sembilan tahun lalu memang kerap melawat ke kompleks itu untuk memantau perkembangan sekolah.
Katanya, sepanjang tempoh itu, Allahyarham berusaha kuat mencari dana untuk pembangunan kompleks termasuklah yang sedang diusahakan kini iaitu membina rumah wakaf untuk guru dan kakitangan.
"Sebenarnya hari ini, 1 Mei genaplah sembilan tahun Allahyarham sebagai penaung. Sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham ke atas Kotaraja sangatlah besar," katanya.
Allahyarham Abu Hassan Din, 73, meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi tadi selepas terjatuh setelah menunaikan solat subuh.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, pada jam 6.10 petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Murabbi sepanjang hayat