Ronaldo setia bersama Al-Nassr

Iklan
Ronaldo memilih untuk kekal di Arab Saudi. - Foto AFP

PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo menamatkan spekulasi untuk kembali ke Eropah apabila mengesahkan akan kekal di Arab Saudi.

Kapten Portugal itu menyertai Al-Nassr selepas meninggalkan Manchester United pada Januari lalu, namun sejak kebelakangan ini tercetus khabar angin dia akan kembali bersama kelab Real Madrid.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun dalam satu temu bual di Saudi, bintang itu menegaskan yang dia akan kekal di Timur Tengah.

"Saya gembira di sini. Saya mahu terus berada di sini dan akan terus di sini," katanya.

Iklan

Ronaldo juga optimis bahawa Liga Saudi akan terus berkembang dan mampu berada dalam kelompok lima teratas di dunia dalam tempoh lima tahun.

"Saya akan menjadi sebahagian 'dunia' dan budaya kamu. Saya juga berharap dapat membuat semua orang gembira menerusi permainan, prestasi dan menjuarai sesuatu.

Iklan

"Apa pun terima kasih kerana menyambut baik kedatangan saya di sini dan saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh berada di sini," katanya.

Pemain berusia 38 tahun itu juga berkongsi perbezaan 'regim' latihan yang dilakukannya sejak berpindah ke Arab Saudi.

"Kami berlatih jam 10 malam - jadi, ia sesuatu yang janggal tetapi saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada pengalaman dan memori," katanya.

Ronaldo bagaimanapun gembira dengan rutin yang dilaluinya itu yang disifatkan sebagai pengalaman terindah.

"Saya suka detik sebegini kerana kamu belajar sesuatu daripadanya. Sukar tetapi ia sesuatu yang belum pernah saya alami.

"Pengalaman saya setakat ini adalah penyokong Saudi sangat meminati bola sepak dan ia sesuatu yang bagus dan saya sangat gembira sehingga sekarang," katanya.

Ronaldo sudah menghasilkan 14 gol daripada 16 perlawanan sejak menyertai Al-Nassr dan membantu kelab menamatkan kempen di tangga kedua Liga Profesional Saudi di belakang Al-Ittihad.

Benzema nafi berhijrah ke Arab Saudi

Dalam perkembangan berasingan, penyerang Real Madrid, Karim Benzema menepis khabar angin akan meninggalkan Santiago Bernabeu untuk berhijrah ke Arab Saudi bagi menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad.

Masa depan pemain berusia 35 tahun itu mencetuskan tanda tanya apabila kontraknya dijangka tamat akhir bulan ini.

Difahamkan bahawa Benzema bersetuju dengan perjanjian dua tahun bersama Al-Ittihad bernilai kira-kira 171.5 juta pound (RM986.55 juta) setiap musim.

Bagaimanapun pemain Perancis itu menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan menyatakan bahawa 'internet bukanlah realiti'.

"Cakap tentang apa? Kenapa saya perlu bercakap tentang masa depan? Saya di Real Madrid. Apa yang dikatakan datang dari internet dan internet bukan realiti.

"Pada masa ini, saya di sini. Kami mempunyai perlawanan pada Ahad. Saya tahu betapa peminat Real Madrid menyayangi saya. Ia dapat dirasakan apabila saya berada di atas padang,” katanya.

Benzema menjelaskan bahawa dia gembira dengan kerjaya sebagai pemain bola sepaknya di Madrid dan menikmati rutin hariannya dengan baik.

"Saya memberikan yang terbaik. Saya selalu mengatakan bahawa kami bermain dengan 11 pemain di atas padang. Faktor yang paling penting ialah peminat Real Madrid.

"Saya sangat berbangga dengan kerja ini. Saya menikmati setiap saat di Madrid. Pergi ke Valdebebas untuk berlatih. Dalam fikiran, saya menikmatinya sepanjang masa di Madrid. Semalam, hari ini dan esok dalam latihan,” katanya.