Menurut Pengerusi Bersama TIS 2023, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, kemunculan Islamofobia itu berpunca daripada perpecahan rakyat, kejahilan pemimpin dan kelemahan para ulama kerana terkesan dengan pelbagai ideologi, selain kejahilan agama sendiri sehingga menganggap Islam tiada hubungannya dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspek.
Oleh itu jelas beliau, TIS2023 telah menggariskan beberapa resolusi untuk diambil perhatian oleh para pemimpin, pertubuhan dan umat Islam supaya tidak terlalu bersikap defensif dalam berhadapan dengan golongan yang fobia, paranoid serta pesimistik dengan Islam.
"Sebaliknya kita mestilah bersikap lebih proaktif dan dinamik dalam membetulkan pemikiran dan kefahaman mereka tentang kesyumulan Islam,” katanya.
Persidangan antarabangsa yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, telah menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, politik dan pendakwah Islam antaranya Tan Sri Abdul Hadi Awang (Malaysia), Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Syeikh Muhammad al-Hasan al-Diddu al-Shanqiti (Qatar) dan Al-Habib Dr. H. Salim Segaf Al-Jufri (Indonesia) bagi membincangkan isu-isu kritikal berkaitan umat Islam.
Dalam perkembangan sama, Dr Muhammad Khalil berkata, persidangan itu juga menegaskan betapa para pemimpin dan umat Islam mesti berpegang teguh dengan ajaran Islam yang syumul serta sentiasa mempromosikan dan mendahulukan penyelesaian Islam dalam menangani isu dan masalah lokal serta global yang dihadapi.
Ujar beliau, penyatuan ummah juga menjadi syarat penting kepada keberhasilan agenda menentang Islamofobia yang sedang berleluasa dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.
"Oleh itu, TIS2023 bersetuju agar usaha penyatuan ummah antara pemimpin-pemimpin dan umat Islam diperkukuhkan bermula daripada setiap negara umat Islam sehinggalah mampu menghasilkan kelestarian kesatuan yang lebih utuh di peringkat antarabangsa.
"Fahaman Islamofobia bukan perkara remeh sebaliknya isu kritikal yang memerlukan kerjasama serta kesedaran semua pihak.
"Justeru itu, segala resolusi yang telah ditekankan dapat diberi perhatian sewajarnya bagi memastikan fahaman Islamofobia dapat dibanteras,” katanya.