Salah faham antara Ahli Majlis MBPJ, Datuk Bandar selesai

Iklan
Sze Han (tengah) hadir pada pertemuan antara Ketua Whip Ahli Majlis MBPJ dengan Mohamad Azhan pada Jumaat.

PETALING JAYA - Salah faham yang berlaku antara Ahli Majlis dengan Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir dalam Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa lalu telah diselesaikan secara baik.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, pada pagi Jumaat telah berlangsung pertemuan antara Mohamad Azhan bersama Ketua Whip Ahli Majlis MBPJ, Terence Tan Teck Seng, Ahmad Akhir Pawan Chik serta Zamri Mohamad.

Iklan
Iklan

Menurutnya, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri dan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.

Ujarnya, semua pihak telah berbincang dengan harmoni bagi menjernihkan salah faham yang berlaku pada mesyuarat penuh tersebut.

Iklan

"Semoga persefahaman yang baik ini dapat diteruskan dengan lebih erat untuk kelestarian Bandaraya Petaling Jaya.

"Kerajaan negeri Selangor sentiasa menitikberatkan semangat bekerjasama dan bermuafakat dalam mencari jalan penyelesaian kepada perkara-perkara berbangkit demi kebaikan warga Selangor," katanya menerusi kenyataan.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan mesyuarat penuh MBPJ pada Selasa berakhir secara tiba-tiba selepas 19 daripada 24 Ahli Majlis bertindak keluar kerana tidak bersetuju mengenai prosedur dalam kelulusan projek pembangunan di Lorong Sultan.

Menurut laporan, seramai 19 Ahli Majlis itu dilaporkan tidak bersetuju dengan kenyataan Mohamad Azhan bahawa Ahli Majlis bukan pembuat keputusan dalam perbincangan Unit Pusat Sehenti (OSC) MBPJ dan mereka hanya berada di situ untuk memberi input dalam aspek sosial dan politik.

Laporan menyebut, Ahli Majlis itu keluar daripada mesyuarat untuk melindungi kepentingan majlis bandaran kerana apa sahaja keputusan yang dibuat berhubung pembangunan itu akan digunakan sebagai rujukan sekiranya timbul sebarang isu kemudian.