Pahang hulur sumbangan bantu pelajar di Mesir, Jordan

Iklan
Wan Rosdy bersama sebahagian pelajar anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di Kaherah Mesir. - Foto Pahang Media

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan RM25,000 untuk menambah baik kelengkapan Surau Syeikh Abdul Halim Mahmud, Kompleks Indera Mahkota di Hayy Asyir, Kaherah, Mesir.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukkan itu disediakan bagi pembelian karpet dan peralatan siaraya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, surau bagi kegunaan pelajar yang beroperasi sejak tahun 1996 itu mampu memuatkan sehingga 300 jemaah.

"Kerajaan negeri juga turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Badan Kebajikan Mahasiswa Mahasiswi Islam Pahang dan RM10,000 lagi kepada Majlis Muafakat Anak-Anak Pahang Mesir.

Iklan

"Sumbangan itu untuk membiayai aktiviti yang akan memberi manfaat kepada pelajar anak Pahang di negara itu," katanya melalui satu hantaran di Facebooknya.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja bersama delegasi kerajaan Pahang ke Mesir bermula Ahad lalu.

Iklan

Wan Rosdy berkata, sempena majlis makan malam bersama pelajar anak Pahang di Kaherah, beliau turut menyampaikan sumbangan khas AS$100 (RM460) daripada Kerajaan Negeri kepada setiap pelajar.

Wan Rosdy bersama sebahagian pelajar anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di Jordan. - Foto FB WAN ROSDY WAN ISMAIL

"Saya dimaklumkan seramai 350 pelajar anak Pahang sedang mengikuti pengajian di negara itu dalam pelbagai bidang pengajian," ujarnya.

Sementara itu, Wan Rosdy bersama delegasi berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan anak-anak Pahang yang sedang melanjutkan pengajian di Jordan pada Jumaat.

Beliau berkata, lawatan ini diadakan selepas selesai lawatan kerjanya ke Mesir.

Dalam pertemuan itu beliau turut menyerahkan sumbangan khas AS$100 kepada setiap pelajar bagi menampung perbelanjaan mereka.

"Kerajaan negeri juga turut meluluskan peruntukan RM20,000 kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan bagi tujuan membiayai program tahunan mahasiswa Pahang di negara itu," katanya.

Pada pertemuan itu, Wan Rosdy mengingatkan pelajar agar belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menamatkan pengajian dan pulang semula ke tanah air untuk berbakti kepada masyarakat, negara dan juga negeri.