KUALA LUMPUR - Orang ramai terutamanya peminat buku karya Ramlee Awang Murshid berpeluang untuk bertemu penulis itu pada Ahad ini.
Beliau yang terkenal dengan penulisan bergenre ‘thriller’ akan hadir pada sesi temu mesra di reruai Kumpulan Karangkraf di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-40.
Editor Kanan Unit Novel Grup Buku Karangkraf, Mazuen Yahaya berkata, sesi berkenaan akan berlangsung pada pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari di Dewan Tun Hussein Onn, WTC.
"Peminat setia novel karya Ramlee sanggup datang dari luar Kuala Lumpur ke reruai Karangkraf semata-mata untuk mendapatkan koleksi beliau yang terkini mahupun yang lama.
"Orang ramai dijemput hadir ke reruai Karangkraf untuk bertemu beliau selain berpeluang berinteraksi dan tanya mengenai novel terbaharu yang bakal diterbitkan,” katanya ketika ditemui di WTC sempena PBAKL pada Jumaat.
Dalam pada itu Mazuen memaklumkan, antara koleksi Ramlee yang laris dan mendapat sambutan sepanjang pesta buku berkenaan adalah siri Anding Ayangan I,II dan III.
"Walaupun sudah dua tahun siri novel ini diterbitkan, peminat Ramlee masih membeli ketiga-tiganya untuk dijadikan koleksi peribadi kerana kita tukar kulit buku untuk seragamkan setiap keluaran,” katanya.
Anding Ayangan merupakan novel bersiri thriller mengisahkan kewujudan dunia fana dan dongengan yang saling terbalik dan ditembusi melalui seruan berupa bait pujangga.
Menceritakan kisah perjalanan seorang lelaki iaitu Furqan Ayyubi yang terperangkap di dunia nyata sedang berusaha mencari jalan pulang ke dunia dongengan.
Sementara itu Mazuen berkata, Grup Buku Karangkraf turut mengambil inisiatif menukar 18 kulit buku novel seram lain bagi memberi wajah baharu kepada koleksi berkenaan.
"Memandangkan banyak permintaan daripada pembaca, kami terbitkan semula 18 novel genre seram dengan kulit depan yang baharu.
"Koleksi ini dijual pada harga sama dengan diskaun sehingga 25 peratus kepada pengunjung PBAKL,” katanya.