Kerjasama berlandaskan perkauman, tindakan terkebelakang - Muda

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil dari kiri: Wymann, Shah Fariq

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa kerjasama politik atas dasar perkauman satu tindakan terkebelakang.

Timbalan Pengerusi Muda, Wangsa Maju, Wymann Liew berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya menggunakan alasan orang Melayu dalam politik pada masa kini.

Iklan
Iklan

"Jika Tun Mahathir mahu menggunakan sentimen perkauman, saya rasa strategi itu bersifat terkebelakang dan tidak tepat kerana Malaysia sudah merdeka lebih daripada enam dekad.

"Sejujurnya, dahulu saya memandang beliau (Tun Mahathir) sebagai seorang idola tetapi kebelakangan ini pemikiran dia mulai berubah dan mungkin disebabkan faktor usia,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Pada 1 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan Tun Mahathir mengakui beliau kini bersedia bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Jelas beliau lagi, Muda akan teruskan dasar politik yang mana menggunakan data dan polisi untuk melawan apa-apa sentimen.

Iklan

Sementara itu, Ketua Penerangan Muda, Wilayah Persekutuan, Shah Fariq Aizal Shah Ghazni berpandangan bahawa menjual sentimen perpaduan untuk orang Melayu mungkin berkesan untuk segmen tertentu dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Bagaimanapun untuk Muda, kami tidak bersetuju dengan cara mengetengahkan pemahaman tersebut dan saya menegaskan bahawa parti ini bukanlah untuk semua orang Melayu,” katanya.

Pada masa sama, Shah Fariq menjelaskan bahawa segala perkara yang dilakukan dalam urusan politik perlu berbalik kepada Rukun Negara.

Beliau berkata, politik adalah satu 'maraton' jangka panjang dan ia memerlukan masa untuk memahaminya.

"Naratif perlu dicari tetapi tidak semestinya kita perlu bergerak pantas. Jika ada peluang yang baik, sudah tentu Muda mampu berkembang dan bersinar,” ujarnya.