Piala Asia B-17: Pamer semangat juang tinggi

Iklan
Hamidin (tiga dari kiri) menyuntik semangat juang kepada skuad remaja negara yang akan mengharungi saingan Piala Asia B-17 di Thailand pertengahan bulan ini. - Foto Facebook FAM

PARA pemain skuad Harimau Malaya bawah 17 tahun (B-17) diingatkan untuk mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam saingan Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand pertengahan bulan ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Hamidin Mohd Amin turut menekankan bahawa peluang bersaing di peringkat Asia ialah satu cabaran yang perlu dihargai dan perlu dibuktikan dengan mempamerkan aksi terbaik.

Iklan
Iklan

Justeru beliau mengingatkan agar pemain tidak mudah leka kerana semua pasukan yang bertanding mempunyai kekuatan yang seimbang.

"Saya yakin pemain dilihat bersedia cuma apa yang penting ialah semangat berjuang demi negara yang tinggi perlu diterapkan untuk ke peringkat lebih jauh. Kita tidak boleh leka,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya B-17 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dan Exco FAM, Christopher Raj selaku pengurus pasukan.

Iklan

Pasukan remaja negara ketika ini dalam kem latihan pusat fasa akhir menjelang Piala Asia B-17 2023 di Bangkok dari 15 Jun hingga 2 Julai.

Dalam pada itu, skuad Harimau Malaya bakal mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang B-17 Uzbekistan pada 6 Jun dan B-17 Arab Saudi (9 Jun) dengan kedua-dua aksi berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam masing-masing pada jam 8.45 malam dan 4.45 petang.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Thailand, Yaman dan Laos.

Sekiranya layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua Asia dari Kumpulan B antara Korea Selatan, Qatar atau Iran dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.

Malaysia bakal mengharungi saingan Piala Asia B-17 itu dengan tawaran empat tiket automatik ke kejohanan Piala Dunia B-17 2023.