KOTA BHARU - Pemuda UMNO Kelantan mendesak kerajaan negeri 'menyelenggara' pentadbiran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebelum mengemukakan permohonan bajet berjumlah RM8 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, segala perkara yang berlaku melibatkan amalan nepotisme dan tidak kecekapan AKSB wajar diberikan perhatian sebelum berbuat demikian.
"Bagaimanapun, kerajaan Kelantan masih mengekalkan pengurusan yang gagal namun mengharapkan keputusan berbeza," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, sebelum Perjanjian Migrasi Air 2016, kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM777 juta daripada kelulusan sebanyak RM816 juta dan pihaknya yakin sumber kewangan itu berterusan hingga sekarang.
Mohd Azmawi Fikri memberitahu, usaha tersebut akan menemui jalan buntu apabila prestasi AKSB berada dalam keadaan buruk serta gagal membekalkan bekalan air kepada pengguna di negeri ini.
Ujarnya, berpandukan kepada jawapan yang diberikan oleh Kementerian Air dan Alam Sekitar (Kasa) sebelum ini sumber bahan mentah itu gagal dibekalkan walaupun permintaan bertambah.
Tambahnya, Pemuda UMNO Kelantan bagaimanapun menyokong permohonan kerajaan negeri untuk memulihkan bekalan air.
Media tempatan sebelum ini melaporkan, permohonan awal Kelantan sebanyak RM8 bilion bagi menyelesaikan isu air di negeri itu ditolak kerana kerajaan perlu meneliti secara tepat keperluannya.
Anwar berkata, ada syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan itu dibenarkan.