Ahli keluarga keturunan Mahsuri berkumpul

Iklan
Sebahagian ahli keluarga keturunan Mahsuri yang hadir bergambar kenangan pada Majlis Perjumpaan Susur Galur Keturunan Mahsuri Putih Kentoi di Kampung Paya Pulau Dudur, Jitra di sini pada Jumaat

KUBANG PASU - Hampir 50 ahli keluarga keturunan Mahsuri berkumpul semula dalam satu majlis perjumpaan keluarga pada Jumaat setelah kali terakhir berbuat demikian 18 tahun lalu.

Pengasas Susur Galur Putih Kentoi, Yusuf Abd Rahim, 90, berkata, dia berasa terharu dan hiba kerana akhirnya hasrat untuk mengumpulkan saudara-mara keturunan mereka tercapai.

Iklan
Iklan

Katanya, walaupun masih ramai yang belum dapat dijejaki semula namun dia tetap bersyukur kerana program terbabit berjalan dengan lancar.

"Saya harap majlis hari ini menjadi permulaan untuk kita kumpul semula yang mana terputus hubungan pada majlis yang akan datang.

Iklan

"Kalau diikutkan ramai lagi ahli keluarga yang tidak ada hari ini termasuk saudara-mara yang ada di Phuket Thailand," katanya ketika ditemui di Majlis Perjumpaan Susur Galur Keturunan Mahsuri Putih Kentoi di Kampung Paya Pulau Dudur, Jitra di sini pada Jumaat.

Yusuf

Menurutnya, generasi terdahulu kerap mengadakan perjumpaan keluarga di Langkawi sekurang-kurangnya sekali setahun untuk terus merapatkan silaturahim dan kasih sayang.

Iklan

"Sekarang bila ahli keluarga makin bertambah perjumpaan seperti ini sangat penting supaya ahli keluarga kita saling mengenali antara satu sama lain.

Ahli keluarga Susur Galur Keturunan Mahsuri Putih Kentoi, Noor Safinas Sobahi, 36, berkata, dia berasa gembira kerana dapat bertemu semula dengan saudara-mara yang tinggal berjauhan.

"Bagaimanapun saya masih lagi dalam usaha untuk menjejaki ahli keluarga yang gagal dihubungi supaya hasrat Tok Nyang (Yusuf) untuk kumpulkan semua ahli keluarga tercapai.

"Jika ada saudara-mara jauh yang berhasrat untuk berhubung semula dengan kami boleh hubungi saya di talian 011-1180 0592," katanya.