Safee buktikan masih belum 'berkarat'

Iklan
Safee (tengah) bersama rakan sepasukan Far East United di AS pada Khamis. (Gambar kanan: Safee membuat catatan di Facebooknya pada Jumaat.)

BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali membuktikan dia masih belum 'berkarat' apabila meledak gol pada kejohanan The Soccer Tournament (TST) di Amerika Syarikat (AS).

Safee yang mewakili Far East United masih lagi memiliki penyudah berbisa apabila berjaya membantu pasukannya menewaskan West Ham United 4-2 dalam aksi pertama peringkat kumpulan D pada Khamis.

Iklan
Iklan

Jaringan tersebut ternyata menggembirakan bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC itu apabila menjentik hatinya untuk kembali ke padang selepas mengumumkan persaraan awal tahun ini.

"Permulaan yang baik pada perlawanan pertama. Menang dengan pasukan EPL (Liga Perdana Inggeris) West Ham United.

Iklan

"Bangga jadi warga Malaysia, kapten pasukan dan menjaringkan gol. Perlukan saya memikirkan semula tentang persaraan,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Jumaat.

Jaringan Safee itu tular di media sosial dan menjadi bualan warganet yang menyifatkan pemain berusia 39 tahun itu masih memiliki skil tersendiri.

Iklan

Safee melakukannya sendirian menerusi gerakan solo yang turut menjerat bekas pemain EPL iaitu Anton Ferdinand sebelum menggegar jaring lawan.

Pada kejohanan itu, Far East United diundi dalam Kumpulan D bersama West Ham United, Culture By Mo Ali FC dan Dallas United.

Kejohanan tersebut yang disertai 32 pasukan daripada lapan kumpulan itu bermula 1 hingga 4 Jun ini dan bermain dengan format tujuh sebelah.

Safee merupakan pemain tunggal dari Malaysia yang beraksi dalam pertandingan berkenaan.

TST adalah acara bola sepak tahunan yang dianjurkan oleh The Tournament dan mereka turut mempunyai cabang sukan lain iaitu The Basketball Tournament (TBT).

Bagi edisi TST kali ini terdapat beberapa pemain terkenal yang menyertai kejohanan itu termasuk Cesc Farbregas (Como 1907), Clint Dempsey (Team Dempsey) dan Kevin Grosskreutz (Borussia Dortmund).