TANGKAK - Polis akan memanggil pemandu serta penumpang kenderaan pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 13, Jalan Sengkang-Teratai di sini, pada Khamis untuk memberikan keterangan bagi tujuan siasatan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, ketika ini kesemua mereka dilaporkan berada di Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami.
"Sekarang ini mereka masih di Zon Merah tapi kita akan panggil jugalah (untuk berikan keterangan).
"Apa pun setakat ini, kita masih teruskan siasatan berhubung perkara (kemalangan) ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada petang Khamis, tiga sekeluarga maut manakala lima lagi cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Altis dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Kemalangan kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku apabila Toyota Altis dari arah Bukit Gambar telah dilanggar oleh Toyota Hilux yang dipercayai datang dari arah Kampung Teratai.
Akibat perlanggaran tersebut, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta meninggal dunia di tempat kejadian, sementara seorang lagi penumpang belakang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan.
Pemandu dan penumpang Toyota Hilux pula dihantar ke Hospital Muar bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu Idris berkata, pihaknya tidak dapat mengulas mengenai punca sebenar kemalangan termasuk dakwaan kemungkinan pemandu pacuan empat roda tersebut berada di bawah pengaruh alkohol.
"Setakat ini siasatan kita tak sampai situ, tapi apa pun, Toyota Hilux keluar dari kebun dan bila keluar dari kebun itu, dah makan jalan sampai bertembung dengan kereta Toyota Altis.
"Apapun, kita masih menyiasat punca sebenar kemalangan dan berharap ia (siasatan) akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.