KAHERAH - Seorang terbunuh dihempap papan tanda yang runtuh dan lima lagi cedera di Kaherah dalam kejadian ribut pasir besar yang melanda beberapa bahagian Mesir pada Jumaat.
Runtuhan papan iklan itu berlaku di jambatan 6th October di Kaherah, Xinhua memetik laporan media tempatan.
Beberapa kemalangan jalan raya juga dilaporkan di seluruh negara, dengan beberapa orang cedera tetapi tiada kematian, kata laporan itu.
Ribut itu yang memaksa penutupan kebanyakan jalan raya, pelabuhan dan pantai di seluruh negara, disebabkan oleh pembentukan lekukan haba di kawasan gurun barat, kata Eman Shaker, ketua Pusat Penderiaan Jauh Pihak Berkuasa Meteorologi Mesir.
"Ribut itu menjejaskan sepenuhnya penglihatan di beberapa tempat. Kawasan yang paling terjejas adalah Kaherah, Suez, Ismailia dan Semenanjung Sinai," kata Shaker.
Penurunan udara panas yang terbentuk di kawasan gurun barat biasanya disertai dengan apa yang dipanggil"angin Khamaseen", angin kering, panas dan berpasir yang biasanya bertiup di Mesir pada musim bunga, katanya.
Ribut pasir dan gelombang haba semasa dijangka berterusan sehingga Jumaat, menurut Shaker. - Bernama-Xinhua