KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyeru kepada konglomerat yang berjaya supaya menyokong pembangunan seni di dalam negara, selain daripada industri-industri lain.
Berucap pada pelancaran Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan? di Muzium Kesenian Islam di sini pada Jumaat, beliau berkata, pembangunan teater dan muzium di negara-negara Barat bukan hanya hasil usaha kerajaan tetapi daripada komitmen yang diberikan konglomerat mereka.
"Anda sudah melihat teater, muzium di Barat, bukan hanya daripada usaha kerajaan tetapi komitmen, nyala rasa dan sesetengah konglomerat besar merasakan sejumlah daripada keuntungan harus digunakan untuk menyokong seni.
Kalau ada 30 konglomerat, katakan dia beri sokongan dalam pelbagai bidang, itu akan memperkayakan seni, sastera, budaya, pendidikan dan masyarakat,” katanya.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Syed Mokhtar Albukhary.
Sementara itu, Anwar berkata konsep MADANI di Malaysia tidak hanya memperkasakan rakyat menerusi ekonomi yang merupakan perkara teras tetapi juga memerlukan pemerkasaan budaya menerusi kesenian dan kesusasteraan.
"Ia akan menjadi sesalan buat sebuah negara seperti Malaysia dengan akar umbi Islam yang kukuh dan kepelbagaian budaya, orang India, Cina dan suku-suku Orang Asli tidak dapat mengangkat seni, budaya dan seni lakon menjadi cemerlang kerana sama ada kita terlalu sibuk dengan isu ekonomi atau terlalu memikirkan perubahan dari barat,” katanya.
Menyentuh mengenai Pameran"Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan?” yang bermula hari ini hingga 15 Okt, Perdana Menteri berkata pameran yang dianjurkan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia itu adalah antara yang terbesar di dunia.
Justeru, beliau mengajak golongan penyelidik, ibu bapa, mahasiswa dan pelajar untuk menggunakan cuti sekolah ketika ini untuk menyaksikan pameran berkenaan.
"Mungkin ramai tidak tahu tentang pameran ini, (ia) agak unik kerana tidak dipersembahkan di mana-mana di dunia melainkan Muzium di London. Itu pun skala kecil.
"Gunakan peluang ini kerana orang biasa akan membayar ratusan atau ribuan ringgit untuk menyaksi karya-karya besar yang tidak diperolehi di jalanan, ia (pameran ini) diperolehi dari ‘Auction House’ dengan harga yang mahal,” katanya.
Mencipta sejarah di Asia, Muzium Kesenian Islam Malaysia mempamerkan koleksi karya lukisan dari zaman keemasan Orientalisme dan tidak pernah sebelum ini lukisan-lukisan dari kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 itu dipamerkan di luar Eropah atau Amerika. - Bernama.