KUALA TERENGGANU - Perlawanan gasing moden, Beyblade Kuterer Challenge 2.0 yang diadakan di pekarangan Warung Satey Cikeng Mamamia, di sini semalam mencipta rekod tersendiri dengan menarik seramai 352 peserta.
Penganjur bersama program anjuran Kuala Terengganu Residen (Kuterer), Muslie Yusof, 47, berkata, jumlah itu bertambah 131 penyertaan berbanding seramai 222 peserta dalam perlawanan Beyblade Kuterer Challenge 1.0 yang diadakan pada 20 April lalu.
Katanya, peserta telah berkumpul seawal jam 7 pagi untuk menunggu giliran mendaftar bagi mengambil bahagian dalam perlawanan itu.
"Pertandingan dimulakan seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4 petang. Kali ini sambutan terhadap pertandingan dengan bayaran yuran penyertaan serendah RM2 ini meningkat mendadak.
"Dalam perlawanan sebelum ini kita buka untuk 'walk ini', tapi kali ini kita terpaksa tutup penyertaan selepas mendapati jumlah yang mendaftar terlalu ramai.
"Selepas ini kita jangka akan adakan lagi perlawanan seumpama ini dengan cadangan awal perlawanan 'Beyblade Raya' sempena Aidilfitri nanti," katanya.
Katanya, penyertaan juga terbuka kepada semua peringkat usia seawal 4 tahun sehinggalah warga emas.
Mengulas lanjut, katanya, antara tujuan utama perlawanan itu diadakan bagi mengalih tumpuan atau 'kegilaan' kanak-kanak terhadap gajet.
"Kita mahu kanak-kanak tinggalkan gajet atau skrin telefon pintar dan komputer kerana dengan perlawanan beyblade ini kanak-kanak akan pandai bergaul, berkawan dan bersosial dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
"Tidak dinafikan, permainan ini memang menarik minat semua golongan, bukan sahaja kanak-kanak bahkan ibu bapa dan golongan berusia," katanya.