'SEJUJURNYA kita sedih dan kecewa pengakhiran The Young Tigers di Oman, namun perlu menerima hakikat bahawa masih banyak kelemahan pasukan yang perlu diperbaiki segera menjelang persiapan pasukan untuk Piala Dunia Remaja Kuala Lumpur 2023 tahun ini.'
Itu luahan pengendali skuad hoki remaja negara, Muhamad Amin Rahim apabila The Young Tigers mengakhiri cabaran Piala Remaja Asia 2023 kedudukan keempat kejohanan selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan.
"Pada barisan kejurulatihan pula, kami melihat banyak aspek sepanjang kejohanan di sini, yang paling ketara adalah faktor strength dan conditioning, speed dan power.
"Ini elemen yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian dalam dunia hoki moden pada masa kini.
"Saya berharap para pemain muda negara dapat belajar sesuatu dari kejohanan ini dan lebih bersedia untuk mengharungi fasa lebih mencabar selepas ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga keempat di Kompleks Belia Sultan Qaboosa, Salalah, Oman itu, Korea Selatan terlebih dahulu memecah kebuntuan gol pada minit ke-22 menerusi pukulan sudut penalti Lim Dohyun.
The Young Tigers kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit ke-26.
Namun Korea Selatan kembali mendahului menerusi gol padang Yoo Seungho pada minit ke-37 yang merupakan gol kemenangan pasukannya dalam perlawanan tersebut.
Namun di sebalik kekecewaan perjalanan The Young Tigers berakhir dalam kelompok empat terbaik Asia, Muhamad Amin tetap memuji komitmen para pemainnya.
"Biarpun hasrat untuk pergi lebih jauh tersekat pada separuh akhir, namun begitu saya berikan pujian kepada para pemain muda negara yang telah mencuba sehabis baik beraksi back to back tournament bermula Sukan SEA Kemboja 2023 diikuti Piala Remaja Asia 2023.
"Pasukan tetap akur dan terima keputusan kejohanan di Oman ini setelah bermula baik peringkat kumpulan apabila menang semua perlawanan, namun tersekat pada separuh akhir berdepan Pakistan diikuti penentuan tempat ketiga keempat kepada Korea Selatan,” katanya.
Young Tigers memulakan kempen Piala Remaja Asia dengan langkah kanan apabila menewaskan Uzbekistan 8–1, Bangladesh (5-1) dan Korea Selatan (3–1). Kemenangan itu juga membolehkan skuad negara muncul juara Kumpulan B dengan 12 mata, diikuti Korea Selatan (9 mata), Bangladesh (6 mata), Oman (3 mata) dan Uzbekistan (0 mata).
Bagaimanapun hasrat skuad muda negara untuk pergi lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas 2-6 kepada pasukan pilihan Pakistan dalam aksi suku akhir.
Dalam pada itu, Muhamad Amin berkata, The Young Tigers akan kembali menjalani latihan pada 12 Jun depan selepas para pemain diberikan cuti selama 10 hari.
"Setiap kelemahan di kejohanan Piala Remaja Asia 2023 terutama aspek fizikal akan diberi penekanan supaya pasukan lebih bersedia bersaing pada peringkat lebih tinggi terutamanya Piala Dunia Remaja.
"Pasukan juga dalam perancangan untuk mengadakan Siri Jelajah Eropah bagi membiasakan dengan gaya permainan Eropah supaya The Young Tigers lebih bersedia untuk cabaran Piala Dunia Remaja,” katanya.