SHAH ALAM - Projek Turapan Mega Selangor secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer yang bermula pada Khamis dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Julai ini.
Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan dana berjumlah sebanyak RM50 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) bagi perlaksanaan projek berkenaan.
Projek terbahagi kepada lima fasa ini mengikut perancangan dan garis masa ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR), sementara bagi kerja-kerja turapan dilaksanakan Infrasel Sdn Bhd melalui kontrak jangka panjang.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, turapan melibatkan jalan di bawah agensi-agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR) pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
"Projek Turapan Mega ini melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).
"Projek berskala besar dengan peruntukan RM50 juta ini merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan jalan raya di seluruh negeri berada dalam keadaan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan kemalangan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan khas bagi melihat sendiri kerja-kerja turapan jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, di sini pada Khamis malam.
Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman, Timbalan Pengarah JKR Selangor, Tuan Ir Zawawi Zakaria dan Pegawai Utama Infrasel, Mohamed Fariz Ghazali.
Berdasarkan aduan tertinggi
Menteri Besar menambah, pemilihan jalan untuk dibaik pulih itu pula adalah berdasarkan kepada aduan tertinggi diterima daripada orang awam yang dilaporkan menerusi Twitter atau aplikasi penyelenggara jalan negeri iaitu Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).
"Infrasel membina satu aplikasi, satu website dan juga pelaporan di media sosial seperti Twitter dan dari situ kita memilih jalan-jalan yang kerap terdapat aduan dan jalan ini (Persiaran Perkilangan, Seksyen 21) antara yang kerap dibuat aduan maka kita memilih jalan ini sebagai simbolik permulaan projek," katanya.
Sementara itu, ketika mengulas sama ada kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada naik taraf laluan motosikal, Amirudin berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu.
"Buat masa ini tumpuan lebih kepada jalan utama terlebih dahulu dan lorong motor ini banyaknya di lebuh raya dan ia sebenarnya di luar kelolaan kita cuma mungkin di Lebuhraya Persekutuan kita akan teliti sekiranya ada lebih (peruntukan) kita akan laksana untuk fasa seterusnya," katanya.
Sebagai rekod, sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel bagi memastikan keselesaan pengguna.
Malah agensi itu turut meminta orang ramai teruskan membuat aduan dengan memuat naik ciapan di Twitter bersama tanda pagar #infrasel #namajalan #daerah jika berlakunya kerosakan jalan.
Pengarah Eksekutifnya, Mohamed Fariz Ghazali memaklumkan proses pelaporan kerosakan jalan di Selangor dipermudahkan dengan aduan di platform berkenaan sebelum ditapis dan disemak secara automatik.
"Sistem aduan ini agak mudah, memang sebelum ini sistem aduan (disediakan) banyak, dah ada di website dan sebagainya cuma kami buat satu sistem yang boleh ditapis dan disemak secara automatik hanya melalui Twitter.
"Jadi daripada di situ, kita dapati banyak aduan daripada (pengguna jalan raya mengenai) jalan-jalan rosak itu dan pihak JKR akan membuat pemilihan dan seterusnya kita akan laksanakannya," ujarnya.
Jelas beliau lagi, walaupun tidak dapat menyelesaikan keseluruhan aduan dengan had peruntukan yang ditetapkan namun aduan di jalan-jalan utama yang rosak diterima menerusi sistem itu dapat diselesaikan dengan segera.