SKUAD bola sepak negara tidak perlu mengejar populariti berdepan dunia seperti Argentina atau Brazil dalam usaha meningkatkan prestasi Harimau Malaya.
Sebaliknya tegas penganalisis sukan tanah air Datuk Dr Pekan Ramli, Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon harus kekal menggunakan pendekatan realistik ke arah memajukan skuad negara.
"Saya setuju dengan Kim Pan-gon dan juga FAM. Buat apa kejar populariti. Kita mesti realistik. Saya juga nak nyatakan dari satu lagi aspek yang perlu kita sedari iaitu antara populariti dengan kualiti, yang mana satu keutamaan kita sekarang?
"Dua-dua aspek ini perlu kita seimbangkan atau paling tidak kita sudah begitu yakin bahawa sudah tiada jurang pemisah yang jauh antara Harimau Malaya dengan Argentina dan Brazil. Barulah sedap sedikit kita untuk mendabik dada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Terdahulu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menganggap tidak realistik mengadakan aksi persahabatan menentang Brazil dan Argentina semata mata untuk meraih populariti.
Hamidin juga memaklumkan bahawa pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon turut melihat pertembungan itu belum lagi realistik.
Sebagai rekod, negara jiran, Indonesia berpeluang menguji Argentina yang diperkuat dengan beberapa bintang seperti Lionel Messi, Enzo Fernandez dan Julian Alvarez pada aksi persahabatan di Jakarta pada 19 Jun ini.
Jelas Pekan lagi,"Kita pun janganlah sampai terpaksa melutut atau hingga sanggup melobi dan menabur dan memandikan mereka dengan insentif wang dan sebagainya hanya semata-mata untuk datang dan bermain dengan kita atas sebab mencari populariti itu.
"Pada waktu ini saya rasa lebih baik kita merendah diri dan bersikap ibarat ukur baju di badan sendiri.
"Tak perlu risau tentang isu ini, jika kita boleh buktikan pasukan kebangsaan kita hebat menguasai rantau ini suatu hari nanti, insya-ALLAH sampai waktunya berebut-rebut pasukan utama dunia hingga terpaksa 'booking' dulu untuk menentang Harimau Malaya.
"Namun dengan syarat kita perlu serius dan usaha bersungguh-sungguh untuk mengangkat darjat bola sepak kita terlebih dahulu.”
Senada dengan Pekan, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menegaskan Harimau Malaya tidak perlu berdepan Argentina dan Brazil semata-mata untuk meningkatkan prestasi semasa skuad kebangsaan.
Sebaliknya Jamal Nasir mencadangkan usaha itu seharusnya dimulakan dengan meninjau gergasi bola sepak Asia.
Malah katanya, keputusan FAM menolak mengadakan perlawanan menentang Selecao dan La Albiceleste sebagai tepat.
"Saya senada dengan Datuk Hamidin, kita seharusnya ukur baju ikut badan sendiri apabila mahu menguji kekuatan skuad Harimau Malaya.
"Sebenarnya kita boleh sahaja melihat dalam kalangan negara Asia untuk perlawanan persahabatan.
"Negara Asia pun bukan tidak memiliki pasukan berkualiti ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa,” katanya kepada Sukan Sinar yang turut menyuarakan mengenai appearance fee gergasi dunia tersebut.
Tambah Jamal lagi, tumpuan pada masa ini seharusnya diberikan dalam kalangan negara Asia sebagai persediaan mengharungi Piala Asia 2023.
Malah tegas Jamal, FAM boleh memulakan dengan memilih pasukan Asia dalam ranking 20 seperti Jepun atau Korea Selatan.
"Namun sekiranya masih terdapat cadangan selepas ini supaya Harimau Malaya menentang pasukan Argentina, Perancis atau Brazil, tolonglah fikirkanlah masak-masak terlebih dulu.
"Ranking Harimau Malaya 138 dunia, tidakkah ini akan melibatkan maruah negara sekiranya pasukan negara diperkotak-katikkan yang ditonton masyarakat dunia?
"Jadi sebelum berbuat sesuatu kita perlu ukur baju di badan sendiri, maksudnya tiap-tiap pekerjaan itu hendaklah dipilih sesuai dengan kebolehan kita sesuai dengan kita bangsa bermaruah,” katanya.