1,225 individu diberkas curi kenderaan, rampasan cecah RM20.3 juta

Iklan
Antara kenderaan yang dirampas JSJ menerusi Op Lejang Khas di seluruh negara.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan curi kenderaan dengan penahanan 1,225 individu membabitkan nilai rampasan RM20.3 juta dalam tempoh empat bulan sejak Januari.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM dalam kenyataan di Facebook rasminya memaklumkan, operasi itu dijalankan menerusi Op Lejang Khas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan statistik, sebanyak 6,709 kertas siasatan telah dibuka bagi kes kecurian kereta yang dilaporkan.

"Sebanyak 1,049 serbuan melibatkan tangkapan seramai 1,225 orang dan rampasan wang tunai sebanyak RM502,865.00.

Iklan

Tambah kenyataan itu, secara keseluruhan operasi dijalankan berjaya menyelesaikan sebanyak 1,658 kes dan daripada jumlah itu 639 kes atau 9.5 peratus kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah.

Ujarnya, polis menyeru masyarakat untuk mengambil langkah pencegahan dengan menambah ciri keselamatan pada sistem kenderaan.

Iklan

"Berdasarkan kajian yang dijalankan, sindiket ini tidak mencuri kenderaan yang dilengkapi sistem tambahan," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, masyarakat digalakkan untuk tidak menangguh laporan polis sekiranya kenderaan mereka dicuri.

"Turut diingatkan, elak meletakkan kenderaan di kawasan yang tiada sistem kamera litar tertutup dan juga lakukan ujian keberkesanan pada sistem penggera kenderaan anda," katanya.