PARIS Saint-Germain (PSG) mengumumkan bekas pemain pertahanan veteran Sepanyol, Sergio Ramos akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.
Ramos, 37, tiba di ibu negara Perancis itu pada 2021 selepas pelbagai kejayaan diraih di Real Madrid termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara sebanyak empat kali.
"Kami ingin merakamkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada Sergio Ramos selama dua tahun bersama kami.
"Kepimpinan Sergio, semangat berpasukan dan profesionalisme, digabungkan dengan pengalamannya di peringkat tertinggi, menjadikannya legenda bola sepak sejati dan merupakan satu penghormatan untuk memilikinya di Paris.
"Semua orang di kelab mendoakan yang terbaik untuknya," kata presiden PSG Nasser Al-Khelaifi dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu dibuat kurang 24 jam sebelum perlawanan terakhir PSG di Ligue 1 musim ini menentang Clermont.
Ramos mengikuti jejak Lionel Messi keluar dari Parc des Princes dengan laporan turut mengaitkan Neymar turut akan meningglakan kelab itu.
"Saya tidak tahu berapa banyak tempat seseorang boleh merasakan seperti di rumah sendiri, tanpa ragu-ragu PSG, peminatnya, dan Paris adalah salah satu daripadanya buat saya.
"Terima kasih di atas dua tahun istimewa yang membolehkan saya beraksi di setiap kejohanan dan memberikan segalanya," kata Ramos.
Bekas pertahanan Sevilla itu memenangi gelaran Ligue 1 sebanyak dua kali di Paris, bermain 57 perlawanan dan kontraknya bersama PSG tamat pada 30 Jun ini.
Sebanyak 44 daripada penampilannya hadir pada musim ini selepas musim pertamanya, ketika Mauricio Pochettino membimbing pasukan, dibelenggu kecederaan.
Ramos, pemenang Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, dan Messi yang tiba pada musim panas lalu, diharapkan dapat membantu PSG memenangi gelaran Liga Juara-Juara pertama mereka, namun gergasi Perancis itu tersingkir di peringkat 16 terakhir dua kali berturut-turut.
Messi dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Miami dan kelab Arab Saudi serta kepulangan ke Barcelona.