SHAH ALAM - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan berakhir 23 hari dari sekarang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin berkata, sekiranya tiada pengumuman pembubaran dibuat maka DUN akan terbubar secara automatik pada 25 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.
"DUN akan terbubar dalam masa terdekat. Kita tiada masa kerana 25 Jun ini adalah tarikh maksimum.
"Ini bermakna, kita hanya boleh tangguh selama 23 hari dari sekarang. Selepas tarikh tersebut, pasti akan terbubar," katanya ditemui pada Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 (PSKNS) di Pusat Konvensyen MBSA di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, tarikh sebenar pembubaran itu perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.
"Saya tidak berada di posisi untuk mengumumkan tarikh tersebut kerana perlu mendapat perkenan Tuanku terlebih dahulu.
Dalam pada itu beliau berkata, tindakan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang berkongsi status mengosongkan pejabat adalah perkara biasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, langkah tersebut bagi membolehkan penumpuan terhadap PRN selepas pembubaran DUN yang akan dibuat pada bila-bila masa dari sekarang.
"Itu perkara biasa apabila nak habis penggal. Selepas ini, tugas mereka pun adalah untuk menjalankan perkara yang telah dirancang dan tidak ada polisi baharu (akan dibuat).
"Saya penggal lepas pun seperti itu. Apabila tahu DUN akan bubar, kita siap sedia kemas.
"Jika dilantik jadi Exco semula belum tentu memegang portfolio yang sama. Jadi banyak perkara perlu dibuat dan dikemas selain mengumpul laporan-laporan yang telah dibuat. Ini adalah perkara lazim," katanya mengulas tindakan bebera Exco yang dilihat telah mula mengemas pejabat untuk dikosongkan.
Antaranya pejabat Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail dan Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor, Datuk Teng Chang Khim