SUNGAI PETANI - Kerajaan akan memastikan sebarang bentuk tindakan yang mungkin dikenakan ke atas Telegram tidak terlalu menjejaskan pengguna platform tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedar aplikasi tersebut banyak digunakan khususnya oleh komuniti tertentu seperti sekolah dan pengamal media untuk penghantaran video dan imej.
Beliau berkata, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih meneliti tindakan ke atas Telegram yang sehingga kini pengurusannya masih tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan bagi membincangkan isu berkaitan kandungan dan salah guna aplikasi itu.
"Kita akan pastikan sekiranya diputuskan bahawa kerjasama di pihak Telegram tidak begitu positif, maka apa-apa tindakan yang diambil tidak terlalu menjejaskan pengguna.
"Kita beri sedikit masa (kepada pengguna) supaya sekiranya perlu ada peralihan mencari medium platform yang baharu, kita akan maklumkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kota Kuala Muda di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang tindakan ke atas platform itu masih dalam penelitian MCMC, dengan suruhanjaya itu akan membuat syor kepada kerajaan yang akan membuat keputusan.
"Kita jangka mungkin tidak terlalu lama dari sekarang, pihak kerajaan akan buat keputusan. Kita belum secara terperinci meneliti syor daripada MCMC, tapi insya-Allah dalam masa yang tidak terlalu lama dari sekarang," katanya.
Beliau berkata pihaknya menerima banyak aduan berhubung kandungan dan salah guna aplikasi tersebut yang membimbangkan termasuk penjualan bahan pornografi, dadah dan aktiviti penipuan pelaburan yang sepatutnya dikekang, namun sehingga kini dilihat seperti tidak ada tindakan daripada pihak Telegram.
"Kalau dibandingkan dengan platform lain, mereka memberi kerjasama apabila dijemput hadir untuk bermesyuarat, tidak menjadi masalah, tapi kita lihat pihak Telegram setakat ini belum memberi kerjasama kepada pihak MCMC sebagai badan kawal selia," katanya.
Mengulas mengenai kenyataan Telegram yang dilaporkan tidak mahu mengambil bahagian dalam sebarang bentuk penapisan berkaitan politik, Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada MCMC untuk berhubung dengan pengurusan platform itu atau mengeluarkan kenyataan balas.
"Bagi saya sebagai anggota pentadbiran (kerajaan) saya melihat keseluruhan dari segi undang-undang dan dasar, sebagai sebuah negara yang berdaulat yang ada kuasa dan hak untuk memutuskan dasar dalam negara, saya percaya undang-undang dalam negara kita mesti dihormati," katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata kementeriannya dalam proses perancangan untuk membina 186 PEDi baharu bagi memastikan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri memiliki sekurang-kurangnya sebuah PEDi untuk dimanfaatkan komuniti setempat.
"Jadi kita jangka makan masa lebih kurang 12 ke 18 bulan untuk membina semua PEDi ini kerana melibatkan dari segi tender dan kontrak, dan ini diusahakan oleh syarikat telekomunikasi melalui kerjasama dengan MCMC," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin. - Bernama